Berita Harian

1.5 juta rakyat Thailand undi awal

-

Bangkok: Lebih 1.5 juta rakyat Thailand sudah mendaftar sebagai pengundi awal menjelang pilihan raya pada 24 Mac ini, manakala 120,000 lagi sebagai pengundi luar negara.

Data itu dilaporkan Bangkok Post yang memetik Setiausaha Agung, Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR), Pol Col Jarungvith Phumma.

Tarikh pendaftara­n bagi kedua-dua kategori pengundi ditutup Selasa lalu, selepas dibuka sejak 28 Januari lalu.

Berikutan itu, pejabat daerah turut dibuka pada tarikh terbabit, walaupun ia adalah cuti umum di Thailand.

Selain itu, pengundi juga berpeluang mendaftar secara dalam talian, sehingga waktu tengah malam.

Pol Col Jarungvith berkata, tarikh tutup pendaftara­n tidak boleh dilanjutka­n kerana agensi itu memerlukan tempoh, bagi menentukan jumlah pusat mengundi yang diperlukan, untuk proses pengundian awal. Beliau berkata, jumlah pengundi yang berdaftar juga semakin meningkat berbanding pilihan raya lalu.

“Sejak 28 Januari lalu, jumlah mereka yang mendaftar sebagai pengundi awal meningkat lebih 100,000 orang sehari. Sementara, bagi pengundi luar negara pula kira-kira 10,000 orang sehari,” katanya.

Tempoh sehingga 17 Mac

Mengulas mengenai tarikh mengundi pula, Pol Col Jarungvith berkata, pengundi luar negara diberi tempoh untuk menunaikan tanggungja­wab mereka mulai 4 hingga 16 Mac ini.

“Pengundi awal diberi tempoh sehingga 17 Mac untuk berbuat demikian, tanpa mengira sama ada mereka tinggal di dalam lokasi pilihan raya atau kawasan lain,” katanya.

Menurut Kementeria­n Luar Thailand, pendaftara­n untuk undian dalam talian di 94 kedutaan, konsulat serta pejabat perdaganga­n ekonomi di seluruh negara berlangsun­g dalam tempoh sama untuk undian awal.

Sejumlah 119,184 pengundi Thailand berdaftar di luar negara termasuk di Sydney (10,256), London (7,926) Tokyo (6,048), Canberra (5,927), Los Angeles (5,668), Singapura (4,763), Kuala Lumpur (4,139) dan Washington (4,122).

 ?? [ FOTO AFP] ?? Penyokong calon Parti Phue Thai berkempen dengan menunggang motosikal di wilayah selatan Narathiwat, kelmarin.
[ FOTO AFP] Penyokong calon Parti Phue Thai berkempen dengan menunggang motosikal di wilayah selatan Narathiwat, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia