‘UMNO utamakan rakyat, bukan Dr M’

Bekas PM didakwa sudah hilang modal, bercanggah dengan pendirian keluar parti

Berita Harian - - MESYUARAT BAHAGIAN - Oleh Mohd Azrone Sarabatin

UMNO lebih menumpukan kepada usaha membela rakyat berbanding memikirkan kemasukan semula Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Dr Mahathir sudah hilang modal apabila mengumumkan tidak mahu kembali menyertai UMNO, sedangkan ia bercanggah dengan pendiriannya yang kerap keluar masuk parti.

Jentera UMNO bersiap sedia

“Saya pun mahu tanya dia balik, kalau dia nak masuk UMNO, orang UMNO akan terima dia ke?,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, di sini semalam.

Kelmarin, media melaporkan Dr Mahathir menegaskan beliau sama sekali tidak akan kembali kepada UMNO walaupun pernah menerajui parti itu selama 22 tahun.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, berkata UMNO berada pada landasan yang tepat untuk memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

“Keyakinan itu begitu kuat berbanding pilihan raya sebelum ini. Jentera kita sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

Fokus kepada PRU

“Malah program pemukiman UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta latihan persiapan menghadapi pilihan raya jauh berbeza jika dibandingkan dengan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata kenyataan Dr Mahathir bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana beliau memang suka melakukan ‘u-turn’ (pusingan U).

“Tidak mustahil suatu hari nanti beliau mahu kembali kepada UMNO. Kita tidak merayu pun Dr Mahathir kembali ke pangkuan UMNO kerana parti keramat ini terpelihara dengan kesetiaan dan keikhlasan dalam perjuangan.

“Kita tidak akan membiarkan institusi presiden dihina mahupun digulingkan. Apa yang lebih penting adalah fokus pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.