Kaedah berkesan turunkan berat badan

Diet rendah karbohidrat pacu tubuh jadikan lemak sumber pengganti tenaga

Berita Harian - - AURA -

Secara teori, diet rendah karbohidrat didakwa sebagai salah satu cara efektif untuk menurunkan berat badan.

Mengawasi pengambilan karbohidrat dikatakan dapat memacu tubuh menjadikan lemak sebagai sumber pengganti tenaga.

Kajian dilakukan Universiti Sekolah Perubatan Exeter, Devon, United Kingdom, menyimpulkan diet rendah karbohidrat sering dikaitkan dengan cara menurunkan berat badan secara berkesan malah lebih baik daripada yang disyorkan diet rendah lemak atau mediteranian.

Pemilik Jim White Fitness Nutrition Studios, Jim White, berkata, demi memperoleh penurunan berat badan optimal tanpa menjejaskan kesihatan, kuantiti pengambilan karbohidrat perlu diawasi.

“Jika tidak, sasaran berat badan diinginkan tidak mungkin dicapai. Perlu ingat, kekurangan karbohidrat yang juga membekalkan tenaga lebih menyemarakkan lagi nafsu untuk makan,” katanya.

Pengambilan disyorkan

Bagi jejaka yang berhasrat menurunkan berat badan, White mengesyorkan pengambilan karbohidrat sekitar 200 hingga 250 gram (g) setiap hari.

Dinilai mengikut kuantiti, secawan nasi mengandungi kira-kira 50g karbohidrat, sekeping roti menawarkan 20g karbohidrat, kentang menyediakan 37g karbohidrat manakala buah-buahan memiliki sejumlah 20g karbohidrat.

Menurut panduan diet yang lazimnya diamalkan masyarakat Amerika Syarikat, karbohidrat harian yang disyorkan adalah 45 hingga 65 peratus daripada pengambilan kalori setiap hari.

Pentafsiran ini mendorong jurnal Nutrition, Metabolism and Cardiovascular Diseases

mengklasifikasikan diet rendah karbohidrat mengutamakan pengambilan karbohidrat kurang dari 45 peratus daripada kuantiti keseluruhan sajian harian iaitu setara dengan 900 kalori namun tidak melebihi 225g karbohidrat.

Risiko kegemukan

Bagi lelaki Asia, pengambilan karbohidrat perlu kurang daripada itu iaitu dalam lingkungan 150g hingga 200g karbohidrat sehari.

Menu disarankan adalah nasi yang sama jumlahnya dengan tiga cawan kopi bersama sayur dan buah-buahan.

Untuk hasil yang lebih baik, anda ditegah mengambil sebarang makanan yang memberi risiko kegemukan seperti kopi, keropok, kentang dan susu.

Jangan kekurangan nutrisi

Bagaimanapun, White mengingatkan risiko karbohidrat yang boleh menyebabkan tubuh bertambah lapar sehingga mendorong tabiat makan berlebihan.

“Tindakan mengurangkan pengambilan karbohidrat turut menyebabkan penurunan makronutrien lainnya seperti protein dan lemak. Malah, ia punca tubuh kekurangan nutrisi, metabolisma rendah, tenaga berkurangan dan pada akhirnya mampu menjejaskan tahap kesihatan secara keseluruhannya,” katanya.

Justeru, penting bagi anda mengelakkan pemotongan karbohidrat secara drastik sebaliknya sediakan jadual makanan rutin mengikut keperluan tubuh.

Katanya, mulakan diet dengan meninggalkan karbohidrat sederhana seperti minuman soda, roti putih atau snek dan kerepek yang biasanya memacu peningkatan gula dalam darah.

“Sebaliknya, banyakkan pengambilan karbohidrat kompleks yang biasanya ditemukan dalam bijian, sayuran, daging tanpa lemak dan ikan dalam kuantiti satu hingga dua kali sehari,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.