Berita Harian

Badrul laung amaran jinak kuartet 4x100 Thailand

- Oleh Mohd Khairie Khalid

Sepang: Jaguh pecut sensasi negara, Badrul Hisyam Abdul Manap melaungkan amaran betapa dia memiliki keinginan tinggi menjinakka­n kuartet 4x100 Thailand di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), bulan depan.

Badrul Hisyam berkata, dia tidak ambil peduli mengenai sikap kuasa besar olahraga itu Asia Tenggara itu yang ketika ini dilihat menyimpan taring sebenar sebelum temasya dwitahunan itu bermula.

Bagaimanap­un, di sebalik keinginan tinggi itu, pelari muda dari Melaka itu berkata, dia dan rakan sepasukan tidak menjanjika­n sebarang warna pingat.

“Syukur Alhamdulil­lah kami dapat memecahkan rekod acara 4x100m di Vietnam dan saya berharap dapat memberikan yang terbaik untuk Sukan SEA nanti.

“Kami akan buktikan kepada semua peminat apatah lagi Malaysia menjadi tuan rumah nanti. Tapi kami tidak janjikan warna pingat sama ada emas, perak ataupun gangsa kerana misi kami adalah lakukan yang terbaik.

Rekod baharu

“Walaupun Thailand ketika ini jarang menyertai kejohanan, mungkin kerana tumpuan pada Sukan SEA, namun kami akan buktikan mampu kalahkan musuh tradisi di tempat sendiri, Insya-allah,” katanya ketika ditemui di KLIA sejurus tiba dari Vietnam, malam kelmarin.

Mengulas mengenai Kejohanan Olahraga Terbuka Vietnam 2017, Badrul Hisyam berkata semangat berpasukan semakin mantap tetapi mengakui penambahba­ikan masih perlu dilakukan ketika pertukaran baton.

Katanya, baki masa yang tinggal sebelum KL2017 membuka tirai akan digunakan sebaik mungkin bagi memastikan perjalanan acara berpasukan itu berjalan lancar.

Khamis lalu, Badrul Hisyam bersama Muhammad Haiqal Hanafi, Jonathan Nyepa, dan Khairul Hafiz Jantan mendapat tonik terbaik menjelang KL2017 apabila mencipta rekod kebangsaan baharu di Terbuka Vietnam dengan catatan 39.62s untuk meraih pingat emas.

Ia sekali gus meleburkan rekod lama milik rangkaian Jonathan, Mohd Izzuddin Yahaya, Harith Ammar Mohd Sobri dan Nixson Kennedy di Sukan SEA Singapura 2015 (39.67s).

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia