Berita Harian

FAM sedia terima pandangan

Sentiasa terbuka terima apa saja cadangan untuk kebaikan bola sepak negara

- Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengalualu­kan cadangan daripada Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM) yang mahu badan induk itu mengubah undang-undang dalam mengenakan hukuman terhadap jurulatih atas kesalahan tertentu.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menjelaska­n betapa pihaknya sentiasa terbuka dan bersedia menerima apa saja cadangan yang boleh menyumbang kebaikan kepada bola sepak negara.

Katanya, cadangan yang diusulkan itu mestilah mengikut saluran yang betul dan badan induk terbabit sedia mengkaji dan menilai cadangan berkenaan.

“Kita mengalu-alukan semua pandangan, cadangan, komen atau kritikan. Sudah tentu semua ini berniat baik untuk melihat perubahan dalam bola sepak kita.

“Kalau ada cadangan, boleh diutarakan dan kita akan tengok kalau ada keperluan dan kesesuaian untuk mengubah, takkan kita tak nak ubah,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Jaga liga kita

BH Sukan semalam melaporkan PJBSM akan mengusulka­n cadangan itu kepada FAM selepas melihat hukuman digantung sembilan bulan tidak boleh terbabit dalam bola sepak terlalu berat diterima jurulatih Pahang, Dollah Salleh sebelum ini.

Usul itu juga akan merangkumi cadangan supaya jurulatih hanya dikenakan denda atas kesalahan mereka dan bukan penggantun­gan yang terlalu lama.

Selain itu, Mohd Yusoff menjelaska­n hukuman yang dibuat Jawatankua­sa Tatatertib FAM sebelum ini adalah tertakluk kepada peruntukan yang sudah ditetapkan dalam statut badan induk itu.

“Keputusan jawatankua­sa mengikut undang-undang yang sudah diperuntuk­kan dan tahap kesalahan yang dilakukan.

“Kalau kesalahan berat, hukumannya mestilah berat. Kita kena tengok dari segi keseluruha­n, bagi saya setiap hukuman ada keperluann­ya.

“Kita perlu jaga liga kita, komen yang boleh memudaratk­an FAM juga tidak bagus sebab nanti orang akan hilang kepercayaa­n pada liga dan ia memberi implikasi lain termasuk penaja kurang berminat untuk menaja,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia