Jinping utus ucapan tahniah

China yakin Malaysia mampu capai prestasi lebih besar

Berita Harian - - PERUTUSAN - Oleh Rohaniza Idris roha@bh.com.my

Presiden China, Xi Jinping mengutuskan ucapan tahniah kepada Yang di-pertuan Agong, Sultan Muhammad V sempena Hari Kebangsaan 2017 yang disambut hari ini.

Sambil mengucapkan semoga Malaysia dan rakyat terus maju jaya di bawah naungan baginda, beliau berkata, sejak merdeka pada 1957, negara ini banyak pencapaian luar biasa termasuk ekonomi dan pembangunan sosial serta peningkatan taraf hidup rakyat.

Katanya, Malaysia juga memainkan peranan yang penting dalam hubungan di rantau ini dan antarabangsa.

“Sebagai rakan dan negara berjiran, China ingin merakamkan ucapan tahniah kepada pencapaian yang sudah dicapai. Kami percaya Malaysia mampu mencapai prestasi lebih besar dalam pembangunan dari titik permulaan yang baharu.

“China dan Malaysia adalah negara berjiran, rakan dan rakan kongsi yang baik, yang sangat bernilai kepada China dalam hubungan dua hala,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.

Sedia tingkat kerjasama

Jinping berkata, China bersedia meningkatkan kerjasama strategik dengan Malaysia dan memperkukuhkan persefahaman melalui rangka kerja inisiatif ‘Belt and Road’.

Selain itu, beliau berkata, negara itu juga bersedia mendorong hubungan lebih erat melalui program Rakan Kongsi Strategik Komprehensif China-malaysia untuk terus berkembang dan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Sementara itu, Perdana Menteri China, Li Keqiang turut mengutuskan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, di bawah kepintaran kepemimpinan Perdana Menteri, konsep ‘1Malaysia’ dan pelaksanaan pelbagai program transformasi ekonomi, menghasilkan perjalanan yang baik dalam pembangunan sosial dan ekonomi, serta pertumbuhan baik di rantau ini dan antarabangsa.

“Kami sangat gembira dengan pencapaian anda. Malaysia adalah rakan yang boleh dipercayai dan rakan kongsi China. Inisiatif Belt and Road adalah peluang bersejarah yang utama untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.

“Kami bersungguh-sungguh untuk meningkatkan lagi kerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai bidang seperti kapasiti produktiviti dan pembangunan infrastruktur, meneruskan pembangunan mapan dalam Rakan Kongsi Strategik Komprehensif China-malaysia.

“Selain itu, mencapai manfaat bersama serta menang-menang untuk kedua-dua negara,” katanya.

Xi Jinping

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.