Sosialisasi politik media sosial hakis kesepaduan

Berita Harian - - ISU -

Hari kemerdekaan negara ke-60, amat penting untuk kita amati lebih mendalam apakah itu ‘kemerdekaan’ bagi konteks kita sebagai rakyat Malaysia. Kemerdekaan dikaitkan dengan perubahan pemikiran, iaitu bentuk pemikiran jumud kepada suatu pemikiran moden, lebih-lebih lagi pembangunan media sosial yang memberi kesan kurang sihat terhadap perpaduan negara.

Berikutan perkembangan media sosial, aspek keselamatan negara terbuka dengan pelbagai ancaman, meningkatkan ketelusan mengenai pemerintah dan ia turut membuka ruang kepada rakyat Malaysia bagi membincangkan isu politik yang tidak lari daripada isu agama dan kaum.

Persoalannya ialah, sedalam manakah perasaan kebencian dan kejengkelan ini? Hari ini jelas kita melihat bagaimana Sukan SEA yang berakhir semalam, dapat menyatukan keseluruhan rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.

Pada hari ini, kuasa media sosial dalam menyampai, menyebar dan menjadikan sesuatu isu ‘viral’, terutama yang tidak diketahui kesahihannya. Selagi Barisan Nasional tidak memberikan perhatian serius dalam soal sosialisasi politik anak muda dalam media sosial, selagi itu ia akan dilihat sebagai satu faktor yang menjurus kepada ketegangan agama, walaupun hakikatnya mungkin tidak.

Kepantasan maklumat

Apa yang kita gagal fahami ialah segala persepsi dan mentaliti anti sesuatu kaum itu dibentuk melalui proses sosialisasi politik di media sosial dan dalam erti kata lain semakin terhakis kesepaduan sesama kaum akibat proses sosialisasi politik ini.

Media sosial juga dilihat sebagai instrumen yang memperdayakan pemikiran rakyat, kononnya mereka menjadi miskin berikutan kenaikan harga minyak masak, seperti yang menjadi viral di media sosial baru-baru ini. Masyarakat tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada media arus perdana sebaliknya menjadikan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram sebagai pilihan mereka.

Perubahan ini membentuk persepsi dan pendirian masyarakat terhadap kerajaan di samping kekeliruan juga wujud disebabkan variasi sumber yang boleh mencetuskan kebangkitan rakyat tanpa usul periksa mengenai sesuatu perkara. Kepantasan maklumat di media sosial, termasuk elemen ‘sensationalism’ yang diselitkan adalah sesuatu yang sukar dielak, namun amat penting untuk ditangani sewajarnya.

Rakyat kita cenderung memilih dan mempercayai ‘bulat-bulat’ maklumat yang disampaikan melalui media sosial berbanding media arus perdana turut mengundang pelbagai implikasi negatif. Sikap berlumba-lumba mahu menjadi yang pertama (first informer) menyampaikan maklumat menjadi budaya dalam kalangan kita dan yang lain pula dengan sewenang-wenangnya berkongsi sehingga menjadikan sesuatu isu itu viral.

Tindakan ghairah berkongsi maklumat di media sosial tanpa kesahihan memberi kesan kepada individu terbabit apabila ia dipolitikkan sehingga mengundang rasa panik dan marah rakyat.

Media sosial seharusnya memberi banyak kebaikan jika dimanfaatkan sewajarnya. Di sinilah pentingnya literasi media agar masyarakat mempunyai pengetahuan dalam membezakan antara maklumat baik dan maklumat buruk.

Kerajaan harus menyekat sesetengah laman sesawang yang boleh mencetuskan perbalahan antara kaum. Kerajaan perlu menyediakan platform yang betul untuk rakyat menyuarakan pendapat mereka. Satu akta atau undangundang media lebih adil perlu dilaksanakan yang boleh membantu rakyat mendapatkan maklumat benar dan pada masa sama, menjaga perpaduan rakyat pelbagai bangsa dan etnik di negara ini.

Ia juga boleh mengelak kegusaran rakyat akibat layanan berbeza terhadap media arus perdana dan media sosial, sekali gus menjadikan media lebih bertanggungjawab dalam setiap laporan mereka. Jika cadangan itu dilaksanakan, industri media di negara ini akan mendapat ‘nafas baharu’ melalui struktur perundangan yang lebih baik, seiring dengan perkembangan teknologi maklumat semasa.

Media sosial harus membuka peluang untuk membina jaringan komunikasi antara satu sama lain, tidak kira kelas sosial agama dan budaya serta menjana perpaduan dengan pembentukan budaya Malaysia. Pada masa sama, rakyat Malaysia perlu mempunyai kesedaran dalam memahami serta mengambil berat isu sensitiviti dan keperluan etnik lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.