Ketepi fahaman ekstrem demi perpaduan

Berita Harian - - ISU -

Hari ini kita sekali lagi menyambut ulang tahun kemerdekaan negara dengan penuh kemeriahan dan kebanggaan menjadi anak jati Malaysia. Tempoh 60 tahun sudah pasti mendewasakan seseorang, namun bagi sebuah negara seperti Malaysia, enam dekad pasca merdeka menunjukkan betapa mudanya negara kita selepas bebas daripada belenggu penjajahan.

Sesungguhnya sambutan kemerdekaan tahun ini amat signifikan kerana ia memberi peluang untuk kita merenung dan memikirkan pencapaian kita selepas 60 tahun kemerdekaan dan merangka perjalanan untuk tahun-tahun yang mendatang.

Jika perpaduan dan keharmonian antara kaum belum mencapai tahap yang kita impikan, saya amat berharap pihak kerajaan dapat meneliti secara mendalam perkara itu dan memperkenalkan dasar baharu yang dapat memperkukuhkan aspek berkenaan demi kebaikan generasi akan datang.

Bercakap berdasarkan pengalaman sendiri, saya amat bertuah kerana dapat menyaksikan negara tercinta mencapai kemerdekaan secara rasminya pada 31 Ogos 1957 dan juga penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Ia sebahagian catatan perjalanan pahit manis bagi saya yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan pengalaman berguna. Namun, yang paling penting perjalanan berliku ditempuhi itu membawa satu harapan iaitu jika kita bersatu, tidak ada sesiapa pun yang dapat mengganggu gugat negara kita.

Dua tarikh keramat ini seharusnya diraikan oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan di mana mereka berada, sambil memikirkan betapa pentingnya ‘Merdeka’ dan apa maknanya kepada kita. Rakyat Malaysia seharusnya memperbaharui semula semangat patriotik yang amat penting bagi perpaduan dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, budaya dan agama berasaskan kepada prinsip hormat-menghormati antara satu sama lain.

Pembinaan negara

Pembinaan negara bukan satu tugas mudah. Ia adalah proses panjang dan sukar serta memerlukan kepemimpinan yang baik dan kuat serta komited terhadap keharmonian kaum dan agama, keadilan dan kejujuran untuk semua. Justeru, tarikh 31 Ogos perlu disambut dengan penuh kesyukuran dan semangat patriotik tanpa mengira kaum dan agama. Kemerdekaan itu adalah kemegahan dan kebanggaan semua rakyat yang perlu dikongsi dan dihayati bersama.

Kita perlu memelihara dan melindungi apa yang kita capai setakat ini dengan persefahaman dan tolak ansur. Janganlah kita membenarkan fahaman ekstrem dalam bentuk apa pun, memecahbelahkan negara yang kita cintai kerana ini adalah tempat kita dilahirkan, tempat kita tinggal dan bekerja dan akhirnya tempat kita akan disemadikan.

Kita mungkin sebuah negara yang masih muda, namun kepelbagaian bangsa, agama dan budaya yang kita nikmati adalah unik dan harus dihargai dan dipertahankan.

Jika kita sentiasa berusaha mengukuhkan perpaduan, kita semua seharusnya mampu melihat melepasi warna kulit.

Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur yang tamat semalam membuktikan bagaimana sebuah temasya sukan boleh menyatupadukan masyarakat berbilang bangsa dan menyemarakkan semangat patriotik rakyat Malaysia.

Tidak kira apa juga latar belakang kita, saya menyeru setiap rakyat Malaysia supaya menjalankan tanggungjawab mereka menjayakan konsep bersatu padu dalam semua bidang aktiviti masyarakat seperti ditekankan melalui tema sambutan Hari Kebangsaan Ke-60 tahun ini, iaitu ‘Negaraku, Sehati Sejiwa’.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.