Kawasan perumahan jadi ‘lebuh raya’

Penduduk Taman Gemilang bimbang keselamatan terancam laluan jadi jalan utama ke MRR2

Berita Harian - - HALAMAN KOTA - Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

Jalan dalam kawasan perumahan, tetapi sibuk seperti lebuh raya, itulah suasana yang dapat digambarkan di Jalan 1/100A, Taman Gemilang, di sini, yang sentiasa sibuk dan dipenuhi kenderaan setiap hari.

Penduduk mendakwa, jalan itu sudah dijadikan laluan utama dan jalan pintas ke sebuah pusat belibelah, Stesen MRT Taman Mutiara dan susur keluar ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Seawal enam pagi, jalan berkenaan akan dibanjiri dengan kenderaan tanpa henti sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas yang teruk.

Tinjauan Halaman Kota di kawasan perumahan itu mendapati, dalam masa seminit, pelbagai kenderaan termasuk kenderaan muatan berat, tidak putus-putus menggunakan jalan terbabit.

Selain itu, kebanyakan kenderaan yang menggunakan jalan itu dipandu secara berbahaya dan laju, ditambah pula dengan bentuk muka bumi kawasan itu yang berbukit.

Pengerusi Wanita MCA Bahagian Cheras, Heng Sinn Yee, berkata lebih 80 rumah berdepan masalah kesesakan lalu lintas akibat jumlah kenderaan yang banyak menggunakan jalan itu.

Laluan ke MRR2 ditutup

“Masalah mula timbul apabila belok kanan di Jalan Manis 2 yang sepatutnya menjadi laluan ke MRR2 diubah dan ditutup Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), apabila kerja pembinaan stesen MRT di situ siap.

“Akibat jalan ditutup, pengguna perlu membuat pusingan dan menggunakan jalan perumahan ini untuk ke stesen MRT dan MRR2.

“Penduduk bimbang dengan keselamatan dan keselesaan mereka, apabila jalan yang dahulunya tenang kini sibuk dengan kenderaan,” katanya ditemui di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Zon 1 Cheras, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan, Jeff Chu Jun Mun; Pengerusi Pemuda MCA Bahagian Cheras, Gavin Foo Chee Gang dan dua Pegawai Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar (JKPB), DBKL.

Lebih merumitkan keadaan, jalan perumahan yang sempit menyebabkan kemalangan dan pelanggaran kecil kerap berlaku membabitkan kenderaan penduduk yang diletakkan di hadapan rumah.

Selain isu kesesakan, penduduk turut mengadu masalah laluan pejalan kaki ke sebuah hentian bas berdekatan stesen MRT yang ditutup dan dipagar menyebabkan penduduk sukar hendak ke situ.

Akibat laluan berkenaan di pagar, pengguna terpaksa berjalan jauh ke jejantas untuk ke hentian bas berkenaan.

Minta ubah semula laluan

Sehubungan itu, Sinn Yee berkata, penduduk meminta agar DBKL mengubah semula laluan belok kanan ke MRR2 di Jalan Manis 2, membina bonggol serta membuka semula pagar di laluan pejalan kaki ke hentian bas, bagi memudahkan penduduk dan pengguna jalan raya.

Bagi penduduk, kesibukan jalan berkenaan mengganggu aktiviti harian dan ketenteraman mereka.

Penduduk, Chua Siaw Kuen, 70 yang menetap di situ sejak 26 tahun lalu berkata, akibat jalan berkenaan sentiasa sibuk ia menimbulkan pencemaran habuk dan bau asap.

“Setiap kali saya menyidai pakaian di luar rumah, pakaian akan berhabuk dan berbau asap dan yang lebih kami bimbang ialah pemandu memandu laju kenderaan mereka.

“Saya takut keluar rumah untuk bersiar-siar kerana bimbang dilanggar kereta,” katanya.

Tommy Tong, 45, pula mendakwa kemalangan kerap berlaku di hadapan rumahnya yang terletak di penjuru simpang masuk ke lorong berkenaan.

“Kereta saya sudah beberapa kali dilanggar dan bergesel dengan pemandu lain. Letak kereta depan rumah sendiri pun sudah tidak selamat.

“Malah, ibu bapa terpaksa melarang anak mereka daripada berbasikal atau bermain di taman permainan berdekatan kerana khuatir dilanggar kenderaan,” katanya.

Penduduk, Hoh Chee Kong, 41, berkata penduduk pernah bercadang membina pondok pengawal dan palang di laluan masuk ke jalan itu, tetapi tidak diluluskan DBKL.

“DBKL memberi alasan jika dibina palang terbabit, ia akan menyebabkan tiada laluan kenderaan untuk ke stesten MRT dan ke MRR2.” katanya.

Sementara itu pegawai DBKL yang hadir tidak mahu mengulas dan menjelaskan kehadiran mereka adalah mendengar aduan penduduk dan membuat laporan untuk tindakan lanjut.

Penduduk bimbang dengan keselamatan dan keselesaan mereka, apabila jalan yang dahulunya tenang kini sibuk Heng Sinn Yee, Pengerusi Wanita MCA Bahagian Cheras Setiap kali saya menyidai pakaian di luar rumah, pakaian akan berhabuk dan berbau asap dan yang lebih kami bimbang kenderaan dipandu laju” Chua Siaw Kuen, Penduduk Ibu bapa terpaksa melarang anak mereka berbasikal atau bermain di taman permainan berdekatan kerana khuatir dilanggar kenderaan” Tommy Tong, Penduduk

[FOTO ROHANIS SHUKRI.

dijadikan laluan utama ke Stesen MRT Taman Mutiara dan susur keluar ke MRR2.

Jalan 1/100 A Taman Gemilang, Cheras

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.