Peluang belayar atas kapal persiaran terbesar dunia

Berita Harian - - JENAMA -

Kuala Lumpur: Orang ramai berpeluang menikmati percutian atas kapal persiaran terbesar dunia

Symphony of the Seas milik Royal Carribbean International (RCI) yang ditawarkan menerusi Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) pada 8 hingga 10 September ini.

Buat julung kalinya kapal terbesar di dunia itu diperkenalkan kepada penumpang di rantau ini untuk belayar bersama tiga lagi kapal iaitu, Mariner of the Seas, Ovation of the Seas dan Voyager of the Seas.

Pengurus Besar Rangkaian Kapal Persiaran RCI Asia Pasifik, Sean Treacy, berkata pada program kali ini, RCI menyasarkan peningkatan 20 peratus penumpang domestik berbanding 10,000 penumpang yang belayar ke Pulau Pinang, Phuket, Bangkok dan Ho Chi Minh menerusi kerjasama bersama MATTA pada Mac lalu.

Harga serendah RM28 untuk

kanak-kanak, RM788 untuk dewasa dan diskaun 50 peratus untuk warga emas ditawarkan menerusi pelbagai pakej antara empat hingga sembilan hari yang dijadual bermula 29 September ini. Mariner of the Seas, Ovation of the

Seas dan Voyager of the Seas akan merentasi Laut Selat Melaka dari Singapura dan berakhir di Hong Kong, manakala kapal Symphony of the Seas dari Barcelona merentasi Laut Mediterranean.

“Menerusi pakej percutian mewah, Kapal Symphony of the Seas dengan panjang 362 meter yang kali pertama diperkenalkan pada Jun lalu, mampu membawa 6,870 penumpang pada satu-satu masa.

Pakej murah

“Antara aktiviti menarik ditawarkan adalah luncur ais, sukan golf, tayangan filem terbitan Dreamworks Entertainment selama tiga hari, aktiviti terjun udara serta pelbagai juadah istimewa berasaskan ‘Pork Free’ untuk penumpang beragama Islam,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Neng yang mengumumkan RCI sebagai Kapal Persiaran Rasmi untuk MATTA pada 8 hingga 10 September ini.

Sementara itu, Tai Neng berkata, pembelian tiket atas talian boleh dibuat bermula minggu depan.

“Buat kali kedua MATTA bangga menerima penyertaan RCI dengan pakej harga lebih murah daripada kos pelancongan darat, namun kali ini orang ramai boleh memilih untuk menikmati percutian di atas kapal terbesar di dunia yang serba mewah dan eksklusif.

“Trend bercuti di atas kapal semakin mendapat sambutan menggalakkan dan dijangkakan menjelang tahun 2035 sebanyak 4.5 juta penumpang akan belayar di rantau Asia Tenggara,” katanya.

[ FOTO NURUL SHAFINA JEMENON/ BH ]

Tai Neng (kanan) dan Treacy pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.