Oxford Fajar tumpu produk pembelajaran digital

Komitmen tinggi sokong dasar pendidikan, pembangunan negara

Berita Harian - - PENDIDIKAN - Oleh Faris Fuad

Oxford Fajar Sdn Bhd (Oxford Fajar) yang komited mencetus pembelajaran dan memperkaya kehidupan masyarakat selama enam dekad, berjaya bergerak mengikut arus revolusi digital selaras dengan anjakan perkembangan teknologi terkini.

Justeru, sambutan ulang tahun Ke-60 Oxford Fajar tahun ini, diraikan dengan komitmen yang tinggi untuk terus menyokong pendidikan dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Pengarah Urusannya, Sharmini Nagulan, berkata Oxford Fajar sentiasa berusaha menghasilkan penyelesaian pembelajaran yang efektif termasuk menggabungkan kandungan berkualiti dengan teknologi digital bagi mempertingkatkan hasil pembelajaran.

Usaha ini selari dengan peranan teknologi digital dalam bilik darjah abad Ke-21 dan menarik minat pelajar yang lahir era digital.

Seiring kemajuan teknologi dalam bidang pendidikan, bahan digital awal disediakan dalam CDROM (perisian komputer), kemudian beralih kepada penyediaan kandungan digital dalam talian untuk menyokong produk bercetak, seterusnya e-buku interaktif yang pertama pada tahun 2013.

Tawar produk digital

“Kini, Oxford Fajar menawarkan rangkaian produk digital mandiri yang mengintegrasikan teknologi dengan kaedah pembelajaran yang kukuh, seperti aplikasi Memory Booster Plus dan e-buku Fully Worked Solutions.

“Produk e-pembelajaran selanjutnya sedang dirancang dan akan dilancarkan secara berperingkat,” katanya.

Sharimini berkata, Oxford Fajar sentiasa bersiap sedia memberikan kemajuan dan impak kepada bidang pendidikan di Malaysia bagi tahun mendatang.

Selari sistem pendidikan

Sehubungan itu, penerbitan Oxford Fajar adalah selari dengan sistem pendidikan Malaysia, Rangka Tindakan Pendidikan Nasional dan inisiatif serta program yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan.

“Kita akan terus memperluaskan tumpuan dan usaha dalam menyediakan penyelesaian pembelajaran menyeluruh dengan menawarkan pembangunan profesional bagi guru, pembelajaran pelbagai mod dengan sumber cetak dan digital, dan juga penyelesaian digital mandiri bagi mempertingkatkan hasil pengajaran dan pembelajaran.

“Komitmen Oxford Fajar untuk terus mengilhamkan pendidik dan memperkaya pelajar ketika Malaysia menempuh pengajaran dan pembelajaran abad Ke-21,” katanya.

Kamus Dwibahasa antara rangkaian kamus terbitan Oxford Fajar yang mencatatkan jualan paling laris melebihi tujuh juta naskhah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.