Edotco ambil alih 13,000 menara telekomunikasi di Pakistan

Perjanjian dengan PMCL letakkan Axiata pengendali pelbagai negara kedua terbesar peringkat global

Berita Harian - - BISNES - Oleh Nasuha Badrul Huzaini

Edotco Group Sdn Bhd (edotco), anak syarikat Axiata Group Bhd (Axiata) menjalin kerjasama dengan Dawood Hercules Corporation Limited (DH Corp) untuk mengambilalih 13,000 menara telekomunikasi di Pakistan.

Langkah pengambilalihan daripada Pakistan Mobile Communications Limited (PMCL) itu bertujuan mengukuhkan kedudukan edotco untuk muncul sebagai satu daripada syarikat menara telekomunikasi bebas terbesar di dunia dan ia adalah pelan pengembangan operasinya yang terbesar setakat ini.

edotco kini memiliki dan mengendalikan lebih 26,000 menara telekomunikasi di enam negara dan pengambilalihan itu akan meletakkan edotco di tempat kelapan sebagai syarikat menara telekomunikasi bebas dan pengendali menara telekomunikasi pelbagai negara yang kedua terbesar di peringkat global.

Jalin perjanjian dengan PMCL

Ketua Eksekutifnya, Suresh Sidhu berkata, edotco menerusi anak syarikatnya, edotco Pakistan Private Limited (edotco PK) telah menjalin perjanjian dengan PMCL untuk membeli anak syarikat menara telekomunikasinya, Deodar Private Limited (Deodar) serta portfolio asetnya berjumlah lebih 13,000 menara.

“Sebagai sebahagian daripada transaksi kerjasama itu, DH Corp akan melabur 45 peratus kepentingan ekuiti dalam edotco PK dengan baki kepentingan kawalan akan dipegang oleh edotco.

“Jumlah transaksi keseluruhan bagi cadangan pengambilalihan itu bernilai AS$940 juta (RM4.01 bilion) dan ia akan dibiayai oleh gabungan hutang tempatan luaran berjumlah AS$600 juta (RM2.56 bilion) dan pembahagian ekuiti sebanyak AS$174 juta (RM742.93 juta) oleh edotco dan AS$166 juta (RM708.80 juta) oleh DH Corp bagi bahagian kepentingan masing-masing.

“Dengan DH Corp sebagai rakan strategik kami, kami yakin dengan potensi pasaran di Pakistan dan akan terus menunjukkan komitmen jangka panjang dalam menyokong pembangunan dan penambahbaikan prasarana telekomunikasi di negara berkenaan,” katanya pada sidang media mengenai pengambilalihan berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.

Yang hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

Semakin kukuh

Terdahulu, Jamaludin mengumumkan prestasi kewangan Kumpulan bagi separuh pertama tahun ini yang berakhir pada 30 Jun 2017.

Axiata mencatatkan keputusan yang lebih kukuh suku ke suku dengan keuntungan selepas cukainya meningkat sebanyak 82.8 peratus kepada RM479.1 juta pada suku kedua daripada RM262 juta pada suku sebelumnya.

Pendapatan Kumpulan meningkat tiga peratus kepada RM6.1 bilion dan ia adalah pendapatan suku tahunannya yang paling tinggi setakat ini dengan syarikat operasi mudah alihnya (Opcos) menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada purata industri dalam pasaran masing-masing.

Suresh dan Jamaludin pada sidang media pengambilalihan menara telekomunikasi di Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.