Aktiviti rai Hari Kebangsaan tingkat semangat patriotisme

Berita Harian - - VARSITI - Oleh Basir Zahrom

Pembabitan dalam aktiviti merai sambutan Hari Kebangsaan dapat menggalakkan penghayatan terhadap nikmat kemerdekaan, sekali gus mempertingkat semangat patriotik.

Penganalisis sejarah, Prof Datuk Dr Zainal

Kling, berkata justeru generasi muda perlu menyertai pelbagai kegiatan seumpama itu bagi menyemarakkan kecintaan mereka pada tanah air.

Beliau berkata, bahkan mereka ada pelbagai pilihan program boleh disertai mengikut minat masingmasing berikutan banyak inisiatif dilaksana pelbagai pihak untuk memeriahkan sambutan penting itu.

Pengisian kemerdekaan

Antara lain, pertandingan menggubah lagu berunsur patriotik, program berbentuk aktiviti sukan dan riadah seperti larian serta berbasikal, perarakan dan kebudayaan.

“Kebersamaan generasi muda dalam program yang meraikan semangat kebangsaan adalah bagus supaya mereka dapat merasai sendiri pengisian kemerdekaan sejak 60 tahun lalu,” katanya ketika dihubungi.

Seterusnya Prof Zainal yang juga bekas Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara (MPN), menyarankan supaya pengisian sambutan kemerdekaan melalui dunia siber seperti media sosial turut dipertingkat seiring kecenderungan golongan muda kini.

Kes terpencil

Sebagai contoh, katanya, menghasilkan video menarik dengan mesej berkesan mengenai kemerdekaan yang boleh ditonton menerusi laman Youtube.

“Usaha sebegini lebih dekat dengan jiwa anak muda sekarang. Walaupun berbeza dengan pendekatan biasa, ia mampu mendidik generasi pelapis untuk menghayati semangat kemerdekaan,” katanya.

Sementara itu pakar sejarah dari Universiti Malaya (UM), Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali, berkata generasi pelapis kini juga memiliki semangat patriotik yang utuh, cuma ditunjukkan melalui cara berbeza dengan anak muda zaman 1950­an.

Beliau berkata, mereka sudah diterapkan ilmu pengetahuan mengenai sejarah tanah air melalui pembelajaran di sekolah, sekali gus memahami kegetiran perjuangan mencapai kemerdekaan negara.

“Jati diri dan semangat patriotik tetap tersemat dalam jiwa golongan muda kini, cuma tidak begitu ditonjolkan kerana ada perkara lain yang lebih mendesak seperti survival mereka berikutan keadaan ekonomi tidak menentu.

“Golongan terbabit dengan perkara boleh menghancurkan negara hanya segelintir dan kes terpencil, namun bak kata pepatah ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’.

“Oleh itu, pelbagai pihak terutama kerajaan dan media, perlu terus menyuntik semangat patriotik dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali

Pembabitan dalam pelbagai aktiviti merai sambutan Hari Kebangsaan dapat menggalakkan penghayatan terhadap nikmat kemerdekaan.

Warga kampus tidak ketinggalan mengadakan program tersendiri untuk menyemarakkan semangat patriotik.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.