Gunakan setiap peluang untuk majukan diri, negara

Berita Harian - - VARSITI -

Beliau berkata, mahasiswa juga harus bersyukur kerana tiada kekangan menjalani aktiviti kampus dengan adanya infrastruktur lengkap dan bimbingan pensyarah berdedikasi di universiti.

“Merdeka, terutama bagi mahasiswa, bukanlah sekadar laungan setahun sekali tetapi untuk dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan harian.

“Merdeka bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga penjajahan minda. Oleh itu, ia bermaksud melahirkan perasaan syukur akan peluang yang ada untuk mempertingkatkan ilmu, memahirkan diri serta menjalinkan hubungan produktif sesama mahasiswa berbilang bangsa dan agama.

“Selain itu, memerdekakan kita daripada tabiat buruk serta menggunakan setiap peluang untuk memajukan diri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada BH Varsiti di sini.

Berfikiran positif

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik kementerian, Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz, berkata mahasiswa perlu menzahirkan perasaan syukur akan keadaan tanah air yang kekal aman damai berbanding pergolakan sedang berlaku di beberapa negara lain.

Beliau berkata, generasi pelapis harus sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi setiap cabaran mendatang supaya dapat menangani dan menyelesaikannya dengan cara terbaik.

“Golongan ini mesti menjunjung tinggi kejayaan yang sudah dikecapi hasil usaha generasi terdahulu, sekali gus bekerja keras untuk membuahkan kejayaan akan datang pula,” katanya.

Tangkis ancaman

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, pula berkata semangat cintakan negara menjadi kunci keharmonian tanah air yang bakal dipimpin generasi Y dan Z pada masa depan.

Beliau berkata, dua generasi itu perlu berpegang teguh kepada semangat berkenaan dan segera menangkis sebarang ancaman yang boleh memudaratkan negara.

“Ancaman kini juga datang dalam bentuk pengaruh maklumat melalui media sosial dan cetak, justeru generasi muda perlu bijak menapis bagi menjamin kesinambungan keharmonian yang sudah dibina selama 60 tahun.

Semangat kebangsaan

“Jika tidak, nikmat keharmonian cukup berharga ini boleh hilang sekelip mata,” katanya yang sedang menjayakan siri jelajah melatih jurulatih untuk mengukur indeks perpaduan dan patriotisme di universiti awam (UA).

Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Datuk Dr Musa Ahmad, turut menekankan pentingnya sentiasa mensyukuri segala pencapaian dan keamanan dikecapi kini hasil pengorbanan serta keperitan mereka yang berjuang mempertahankan negara.

“Hayatilah bait lagu kebangsaan Negaraku kerana ia boleh melahirkan patriotisme pada tanah air tercinta. Kibarkanlah Jalur Gemilang dengan penuh semangat kebangsaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.