Projek Surau Lestari manfaatkan air lebihan wuduk

Berita Harian - - VARSITI - Oleh Faizatul Farhana Farush Khan

Masalah pembaziran air yang berlaku ketika berwuduk mencetuskan idea mahasiswa Kolej Kediaman Perwira, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), untuk melaksanakan Projek Surau Lestari, baru-baru ini.

Melalui projek itu, air lebihan wuduk disalurkan ke sebuah tangki sebelum ditapis dan dipam mengikut masa ditetapkan untuk menyirami sayuran ditanam di sekitar kawasan surau kolej berkenaan.

Elak pembaziran

Pengetua Kolej Perwira, Prof Madya Dr Afandi Ahmad, berkata Projek Surau Lestari diperkenalkan selepas kajian awal Majlis Kepemimpinan Pelajar kolej itu mendapati berlaku pembaziran 2.86 liter air sehari apabila seseorang pelajar mengambil wuduk.

“Pengiraan mingguan, bulanan dan tahunan pula mendapati masingmasing sejumlah 14.3, 443.3 serta 5,391.6 liter air dibazirkan.

“Statistik ini menunjukkan bahawa Projek Surau Lestari diperkenalkan mahasiswa Kolej Kediaman Perwira bagus untuk mengelakkan pembaziran, membantu penjimatan dan menggunakan air lebihan wuduk secara bermanfaat,” katanya pada majlis pelancaran projek itu di UTHM.

Pada program itu, warga kolej turut menyertai aktiviti Jom Jalan Sekitar Kampung dan Taman selama sejam bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat, mengisi masa lapang secara berfaedah serta merapatkan silaturahim.

Dr Afandi berkata, inisiatif projek itu bukan sahaja selari misi UTHM untuk memupuk nilai tauhid dalam kalangan mahasiswa tetapi juga mendorong mereka berfikir secara kreatif dalam penyelesaian masalah dan mengaplikasikan ilmu dipelajari dalam kuliah.

Jana pendapatan

“Usaha mahasiswa ini dapat meningkatkan kemahiran teknikal, inovasi dan keusahawanan, selain memupuk kesedaran menjimatkan air, mengelakkan sikap membazir serta cinta akan alam sekitar.

“Kejayaan projek ini mendorong mereka untuk merancang inisiatif menanam lebih banyak jenis sayuran dengan memanfaatkan teknik penyiraman air lebihan wuduk, supaya dapat dipasarkan dan menjana pendapatan kepada mereka serta kolej,” katanya.

Dr Afandi (kiri) tidak ketinggalan memberi sokongan terhadap inisiatif Projek Surau Lestari.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.