Pembuatan perabot tuntut kreativiti perkenal idea baharu

Berita Harian - - VARSITI - Oleh Meor Ahmad Nasriin Rizal Ishak

Kreatif, inventif serta inovatif ialah antara ciri perlu dimiliki pelajar yang ingin menceburi profesion dalam bidang reka bentuk dan pembuatan perabot.

Ketua Program Reka Bentuk dan Pembuatan Perabot, Kolej Komuniti (KK) Temerloh, Pahang, Mohd Zool Fazlee Basir, berkata daya fikir yang tinggi juga diperlukan dalam usaha mengubah suai produk berkenaan menjadi lebih bermutu berbanding perabot lain.

“Inovasi adalah satu proses kompleks yang memerlukan usahawan pembuatan produk kreatif memperkenalkan idea baharu. Mereka juga perlu memiliki sikap positif, tidak takut mengambil risiko dan mengamalkan pendekatan komprehensif,” katanya ketika dihubungi.

Latihan industri

Mengenai penawaran program pengajian dalam bidang itu di KK, beliau berkata, pelajar antara lain akan disuntik ilmu pengetahuan dan kemahiran berkaitan penghasilan lukisan perabot secara manual serta berbantu komputer dua dimensi (2D) dan 3D.

Mereka juga akan mendapat pendedahan mengenai pemprosesan dan pemesinan kayu, selain ditawarkan latihan industri supaya merasai suasana alam pekerjaan yang sebenar.

Subjek keusahawanan

“Di samping kemahiran teknikal, pelajar akan turut mempelajari kemahiran insaniah sebagai persediaan memasuki pasaran industri kelak,” katanya.

Mohd Zool berkata, bidang reka bentuk dan pembuatan perabot menawarkan peluang kerjaya yang luas, antaranya sebagai tukang kayu, penyelia perabot, juruteknik industri serta pereka bentuk barangan perabot.

Graduan bidang itu juga berpeluang menceburi bidang perniagaan, lebihlebih lagi kurikulum dipelajari merangkumi subjek keusahawanan membabitkan pelbagai aspek penting seperti pemasaran produk.

[FOTO HIASAN]

Pelbagai peluang kerjaya terbuka dalam bidang reka bentuk dan pembuatan perabot.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.