USIM tawar pengkhususan sains Islam peringkat pascasiswazah

Berita Harian - - VARSITI - Oleh Basir Zahrom

Sejak awal penubuhan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sudah dikenali sebagai pendukung gerakan mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli.

Pengarah Institut Sains Islam (ISI) USIM, Prof Dr Norita Md Norwawi, berkata satu daripada pemangkin merealisasikan hasrat itu secara sistematik ialah menawarkan program ijazah sarjana dan doktor falsafah (PHD) dalam pengkhususan sains Islam.

Beliau berkata, penawaran program berkenaan disasarkan kepada umum bagi membuka ruang baharu penyelidikan dalam isu semasa berkaitan sains dan teknologi.

Jawapan alternatif

“Selain itu, memberi jawapan alternatif kepada permasalahan sosial berdasarkan epistemologi Islam yang merangkumi aspek agama, sosial, kemanusiaan dan sains fizikal.

“Melalui program ini, USIM juga akan menjadi penggerak pembangunan bidang pengajian sains Islam yang belum ditawarkan secara berstruktur dan sistematik pada peringkat pascasiswazah di negara ini.

“Sehubungan itu, penawaran program ini amat bertepatan bidang tujahan USIM,” katanya ketika dihubungi.

Prof Norita berkata, inisiatif itu selaras hasrat USIM melahirkan saintis profesional yang mampu memimpin masyarakat ke arah kemajuan serta menyelesaikan permasalahan ummah melalui sains dan teknologi.

Beliau berkata, pengajian sains Islam ditawarkan USIM itu merentasi disiplin bertunjangkan al-quran dan sunah yang diintegrasikan dengan domain ilmu sains fizikal, sains sosial serta kemanusiaan.

Rentas disiplin

“Ia boleh dianggap suatu bentuk pengajian islamik gunaan, justeru penyelidikan sains Islam hanya boleh dilaksanakan dalam konteks merentasi disiplin. Kajian memfokus pada satu domain tertentu tidak boleh dikategorikan dalam skop pengajian ini.

“Melalui kajian menyeluruh merentasi pelbagai bidang dengan berteraskan ilmu naqli dan aqli, graduan program ini akan berupaya menganalisis masalah serta membentuk hubung kait solusi bagi isu semasa masyarakat,” katanya.

Prof Norita berkata, program itu diharap akan dapat menghasilkan modal insan berkelulusan ijazah pascasiswazah yang mampu mempergiat inovasi dalam penyelidikan dan pembangunan negara, khususnya dalam bidang sains Islam.

“Di samping itu, memenuhi keperluan sumber manusia negara yang terlatih serta mahir dalam kedua-dua aspek ilmu naqli dan aqli,” katanya.

Prof Dr Norita Md Norwawi

Pengajian sains Islam ditawarkan USIM merentasi disiplin bertunjangkan al-quran dan sunah yang diintegrasikan dengan domain ilmu sains fizikal, sains sosial serta kemanusiaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.