UNIMAP sedekad kekal juara SUKUM

Berita Harian - - VARSITI - Oleh Nor Azma Laila

Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) meneruskan penguasaan dalam kejohanan Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM) 2017 apabila berjaya mempertahankan gelaran juara keseluruhan untuk kali ke-10 berturutturut sejak 2008.

Edisi kali ini yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, menyaksikan kontinjen itu unggul dengan kutipan 21 pingat emas, 12 perak serta tujuh gangsa untuk mengatasi pencabar terdekat, Universiti Sains Malaysia (USM) di tempat kedua dan tuan rumah (ketiga).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang juga Ketua Kontinjen UNIMAP, Prof Madya Dr Mohd Fo’ad Sakdan, berkata pasukan olahraga beraksi cemerlang sebagai penyumbang terbesar pingat emas diraih universiti itu.

Tampil garang

Kejayaan pasukan itu membolot 15 pingat emas meletakkan UNIMAP kekal bertaring sebagai ‘kuasa besar’ dalam saingan olahraga staf universiti negara ini.

“Menjadi juara bukan suatu yang sukar, namun untuk mengekalkan gelaran itu selama sedekad memang memerlukan komitmen dan kerjasama berpasukan jitu daripada semua pihak, termasuk pengurusan universiti, Pusat Sukan serta atlet secara keseluruhan,” katanya.

Seperti diramalkan bagi saingan olahraga, beliau berkata, UNIMAP tampil garang dalam acara pecut 100 dan 200 meter (m) apabila merangkul empat pingat emas kategori lelaki serta wanita senior menerusi Mohd Helmi Awang dan Nurhaslinda Md Hussin, manakala Dr Shuhaida Yahud memenangi pingat emas 100m wanita veteran.

Mohd Helmi turut membantu pasukan kuartet 4x100m dan 4x400m lelaki senior membolot dua pingat emas melalui aksi cemerlang bersama tiga bekas atlet elit negara, iaitu Mohd Robani Hassan, Muhammad Idris Zakaria dan Mohamad Baihaqi Razlan.

Perkenal kelainan

“Pingat emas juga diraih menerusi acara 4x100m wanita senior, 800m dan 1,500m wanita senior, 400m lelaki dan wanita senior, lontar peluru lelaki senior, lempar cakera lelaki senior serta lompat jauh lelaki senior,” katanya.

Seterusnya, acara petanque individu dan trio, boling tenpin lelaki, bola tampar lelaki, futsal wanita serta berbasikal VIP pula masing-masing menyumbangkan satu pingat emas.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Fo’ad berkata, sistem pungutan pingat secara terbuka yang dilaksanakan tuan rumah pada kejohanan tahun ini turut membantu UNIMAP mencapai misi mengungguli SUKUM.

Sebelum ini, penentuan johan keseluruhan adalah berdasarkan kejuaraan acara dipertanding tetapi UPSI memperkenalkan kelainan dengan mengguna pakai kedudukan jumlah pingat.

Atlet UNIMAP mengatasi pencabar lain dalam satu daripada acara olahraga dipertandingkan.

Kontinjen UNIMAP dinobat sebagai juara keseluruhan SUKUM 2017.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.