Untung sebelum cukai FGV RM55.974 juta

Jumlah melonjak berbanding RM41.515 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2017

Berita Harian - - BISNES -

Keuntungan sebelum cukai Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2017 melonjak kepada RM55.974 juta berbanding RM41.515 juta seperti yang direkodkan pada tempoh yang sama sebelumnya.

Keuntungan itu diraih melalui peningkatan pendapatan sebanyak RM8.55 bilion berpunca daripada pertambahan dalam pendapatan terakru daripada sektor perladangan, logistik dan bahagian lain daripada RM7.89 bilion sebelum ini, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, semalam.

Sektor perladangan mencatatkan keuntungan sebanyak RM148 juta dalam separuh pertama 2017 berbanding dengan kerugian berjumlah RM9.69 juta yang direkodkan sebelum ini, berikutan kenaikan harga termasuk hasil keluaran yang lebih baik dan penurunan dalam kos pengeluaran bagi minyak sawit mentah.

Imbangi kerugian

Keputusan yang positif ini, bagaimanapun, diimbangi sebahagiannya oleh kerugian dalam sektor gula disebabkan kenaikan kos gula mentah, kerugian dalam susut nilai boleh terima sebanyak RM47.62 juta dan peruntukan untuk kerugian litigasi sebanyak RM32.84 juta yang diiktiraf dalam sektor perladangan pada suku sebelumnya.

“Caj nilai perjanjian pajakan tanah juga bertambah sebanyak 18 peratus kepada RM121 juta berbanding dengan separuh pertama 2016,” kata FGV.

Sementara itu, kumpulan itu sedang berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran penanaman semula membabitkan tanah seluas 14,000 hektar dalam tahun ini, lebih kurang 10,000 hektar telah dibersihkan dan 1,478 hektar telah ditanam sepenuhnya pada separuh pertama tahun ini.

Kumpulan juga telah mengurangkan perbelanjaan pentadbiran sebanyak lima peratus kepada RM439 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Melangkah ke hadapan, FGV menjangkakan pengeluaran tandan buah-buahan segar untuk separuh kedua tahun ini akan meningkatkan lagi disebabkan pertambahan hasil produktiviti berpunca daripada pengeluaran tanaman yang lebih banyak dan usaha yang berterusan bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja ladang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.