ATLET SUKAN SEA SERIKAN SAMBUTAN HARI MALAYSIA

1,500 belia terbabit pelbagai persembahan sambutan di Kompleks Sukan Likas

Berita Harian - - PORTADA - Oleh Wan Faizal Ismayatim wfaizal@bh.com.my Kota Kinabalu

Acara kemuncak sambutan Hari Malaysia malam ini yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bakal menampilkan beberapa atlet Sukan SEA negara yang meraih emas pada temasya Kuala Lumpur 2017, bulan lalu.

Antara atlet yang bakal membuat penampilan khas itu termasuk jaguh 110 meter lari berpagar berasal dari Keningau, Rayzam Shah Wan Sofian yang mencatatkan 13.83 saat di Sukan SEA 2017, selain Fatin Faqihah Mohd Yusof, Kamisah Khamis dan Emilia Eva Natasha Saudia.

Seramai 1,500 belia akan terbabit dalam pelbagai persembahan istimewa yang dibahagikan kepada lima segmen sempena acara kemuncak sambutan Hari Malaysia dihoskan Sabah di pekarangan Kompleks Sukan Likas, di sini.

61 penari kanak-kanak

Turut terbabit membuat persembahan ialah 61 penari kanak-kanak bagi segmen tarian dan kebudayaan pada acara dijangka berlangsung dalam suasana gemilang itu.

Antara segmen lain dalam persembahan sambutan hari bersejarah itu termasuk tarian sambut tamu dan warna-warni Malaysia.

Yang turut dijadual hadir pada sambutan ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Openg.

Acara bermula jam 8.10 malam

Acara malam pada jam 8.10 dimulakan dengan ucapan Musa diikuti amanat Hari Malaysia oleh Perdana Menteri sebelum upacara menandatangani Buku Catatan Hari Malaysia 2017.

Yang Dipertua Negeri kemudian menyertai upacara memotong kek Hari Malaysia sebelum persembahan khas dan pertunjukan bunga api.

Cabutan tiket bertuah turut diadakan dengan hadiah utama dua motosikal, selain tiga basikal serta pelbagai hadiah sampingan lain.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Setiausaha Jawatankuasa Sambutan Hari Malaysia 2017, Datu Rusmadi Datu Sulai, berkata lebih 50,000 pengunjung dijangka memeriahkan Karnival Hari Malaysia selama tiga hari, bermula semalam.

Media Prima Berhad turut membawakan Konsert Sama-sama Sehati Sejiwa pada malam esok di Kompleks Sukan Likas yang membariskan artis terkenal seperti Ayda Jebat, Akim & The Majistret, Ramli Sarip, Salma (3 Juara), Khai Bahar dan Dayang Nurfaizah.

Sementara itu, lebih 50 booth disediakan termasuk pameran berkaitan sejarah Hari Malaysia, selain Unit Bergerak jabatan kerajaan antaranya Mahkamah Bergerak, Lambaga Tabung Haji, Perpustakaan Negeri Sabah, Jabatan Pendaftaran Negara, Pos Malaysia Berhad dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

[FOTO MALAI ROSMAH TUAH/BH]

Antara pelajar yang menyertai raptai penuh sambutan

Hari Malaysia di pekarangan Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.