Najib dedah Dr M bayar jutaan ringgit jumpa Bush

Bayaran dilakukan melalui pelobi bermastautin di Hong Kong

Berita Harian - - TAKZIAH - Oleh Zanariah Abd Mutalib

Datuk Seri Najib Razak mendedahkan, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pentadbirannya membayar jutaan ringgit untuk bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, George W Bush.

Perdana Menteri berkata, tindakan itu dilakukan melalui seorang pelobi yang bermastautin di Hong Kong dan ia dibayar melalui kontrak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Berjuta dibayar kerana nak sangat berjumpa dengan Bush tapi Dr Mahathir tidak dapat sambutan macam saya (pertemuan dengan Presiden AS, Donald Trump di AS).

“Jadi jangan (Dr Mahathir) jadi hipokrit, kutuk pula lawatan saya (ke AS). Lawatan ini bukan kerana saya tapi kerana Malaysia. Hubungan baik dengan China, Arab Saudi dan AS adalah untuk Malaysia,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh ratusan pemimpin dan ahli Barisan Nasional (BN) yang menyambut kepulangannya di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam tadi.

Najib tiba di ibu negara selepas mengadakan lawatan kerja ke Amerika Syarikat (AS) dan Britain sejak Selasa lalu.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kabinet. Antara delegasi Najib ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

‘Bukan minta sedekah’

Najib berkata, beliau bukan ke AS untuk meminta sedekah atau melutut tetapi bagi menyampaikan bahawa Malaysia sudah sampai ke tahap sebuah negara pelaku global.

Najib turut menyifatkan penerimaan Trump terhadap beliau di Rumah Putih sebagai di luar dugaannya sama sekali, dengan kehadiran pegawai tertinggi Kabinet AS.

“Pegawainya meminta beliau berjabat tangan dengan saya (selepas pertemuan) tetapi beliau berkata ‘Saya mahu menghantarnya ke kereta’.

“Pegawai protokolnya memberitahu bahawa kereta sudah menunggu di aras bawah tetapi Trump menjawab ‘Tidak mengapa, beliau rakan saya’.

“Tuan-tuan, beliau hormatkan kita dan kepemimpinan kita, tapi ada pula orang yang kutuk lawatan saya,” katanya.

Mengenai pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Airlines Berhad, Najib berkata, keputusan itu dibuat oleh syarikat penerbangan itu pada Julai tahun lalu, dan beliau hanya menyampaikan hasrat itu pada lawatan berkenaan.

Najib mengadakan pertemuan dengan Trump Selasa lalu, yang antara lain membangkitkan isu penindasan masyarakat Islam Rohingya di Myanmar dan komitmen negara dalam memerangi keganasan.

[FOTO MOHD FADLI HAMZAH/BH]

Najib berucap di hadapan penyokong Barisan Nasional di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas sekembalinya dari lawatan rasmi ke Amerika Syarikat dan United Kingdom. Turut hadir Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.