Almarhum contoh terbaik Raja Berperlembagaan: PM

Berita Harian - - TAKZIAH -

Alor Setar: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyifatkan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai contoh terbaik seorang Raja dalam konsep Raja Berperlembagaan di negara ini.

Perdana Menteri berkata, komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan Almarhum Sultan Abdul Halim yang pernah memegang jawatan Yang di-pertuan Agong sebanyak dua kali sebelum ini, dalam urusan negara serta rakyat amat disanjung tinggi.

“Saya sentiasa menghormati Almarhum baginda sebagai seorang Raja yang sangat disayangi rakyat dan boleh dianggap sebagai contoh terbaik dari segi peranan seorang raja berdasarkan perlembagaan.

“Komitmen dan dedikasi Tuanku dalam urusan negara dan rakyat adalah sangat disanjung tinggi jadi pada rakyat Malaysia, Kedah dan diri saya ia adalah satu kehilangan besar,” katanya selepas menziarah makam Almarhum Sultan Abdul Halim di Makam Diraja Langgar, dekat sini, semalam.

Ziarah makam sebaik tiba

Perdana Menteri diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor menziarahi makam Almarhum Sultan Abdul Halim sebaik tiba di negara ini, selepas mengadakan lawatan kerja ke Washington, Amerika Syarikat sejak Selasa lalu.

Pada masa sama, Najib berkata, beliau bukan sahaja menganggap Almarhum Sultan Abdul Halim sebagai Yang di-pertuan Agong sebelum ini tetapi sudah dianggap seperti ayahanda sendiri berikutan hubungan keluarga yang baik dijalin sejak zaman bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein menjadi Perdana Menteri kedua.

“Almarhum (Tuanku) dengan saya begitu akrab dan sentiasa memandang berat bukan saja urusan kerajaan tetapi segala berhubung soal peribadi dan keluarga,” katanya.

[FOTO AMRAN HAMID/BH]

Najib menyiram air mawar di makam Almarhum Sultan Abdul Halim Muad'zam Shah sambil diperhatikan Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Ahmad Thani Sultan Badlishah (dua dari kiri); Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim (tiga dari kiri); Rosmah dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah ketika menziarahi makam Almarhum di Makam Diraja Langgar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.