RM30 juta bantu maahad tahfiz di seluruh negara

PM nafi dakwaan kerajaan tak bantu bangunkan pusat pengajian

Berita Harian - - TRAGEDI -

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malam tadi mengumumkan peruntukan RM30 juta oleh kerajaan bagi menaik taraf maahad tahfiz di seluruh negara.

Sambil menyangkal dakwaan kononnya kerajaan tidak membantu membangunkan pusat pengajian berkenaan, Perdana Menteri berkata kerajaan, UMNO dan beliau secara peribadi juga akan terus menghulurkan bantuan kepada Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Katanya, bantuan itu akan diberikan kepada keluarga yang kehilangan anak, individu yang cedera dan mereka yang mengalami trauma akibat tragedi berkenaan.

Beri kesan mendalam

“Pelajar dan ustaz (maahad tahfiz) melakukan ibadah di rumah saya setiap malam Jumaat sejak sekian lama, tragedi ini saya amat memberi kesan mendalam kepada saya,” katanya kepada pemberita ketika meninjau pusat tahfiz berkenaan malam tadi.

Najib juga berkata, satu mesyuarat akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Selasa depan bagi menilai semula kelulusan piawaian bomba di maahad tahfiz.

Katanya, berdasarkan tinjauan beliau, tragedi kebakaran terbabit boleh dielakkan sekiranya tiada pindaan pada pelan asal yang diluluskan pihak bomba.

“Bangunan itu dibina dengan satu laluan keluar, kita tunggu siasatan yang dibuat polis dan bomba sebelum membuat apa-apa kesimpulan.

“Ini takdir Allah, perancangan sudah dibuat supaya mereka berpindah bangunan baharu, dan dijangka selesai dalam beberapa hari,” katanya.

Perdana Menteri turut menzahirkan rasa kesedihan dan takziah kepada keluarga mangsa.

“Ini satu tragedi amat sedih dan menyayat hati,” katanya.

Sementara itu, Yang di-pertuan Agong, Sultan Muhammad V, mencemar duli berangkat ke Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di sini pada jam 10.20 malam tadi.

Baginda berkenan meluangkan masa kira-kira 30 minit melihat keadaan pusat tahfiz berkenaan selepas terbakar dan mengorbankan 23 nyawa, awal pagi kelmarin.

[FOTO BERNAMA]

Sultan Muhammad V bersama Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mendengar taklimat ketika melawat lokasi tragedi kebakaran Pusat Tahfiz

Darul

Quran Ittifaqiyah, malam tadi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.