RCI tragedi Pondok Pak Ya jadi panduan

Berita Harian - - TRAGEDI -

Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Dato Keramat, di sini, awal pagi semalam akan meneliti semua syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Keselamatan Sekolah Agama yang ditubuhkan selepas tragedi di Yan, Kedah pada 1989.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan cadangan dikemukakan RCI selepas tragedi Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Khairiah Al-halimiah atau Pondok Pak Ya yang mengorbankan 27 nyawa tidak dilaksanakan dan diguna pakai.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata satu atau dua ke- jadian kebakaran di maahad tahfiz dan sekolah agama rakyat memberi gambaran buruk terhadap sistem pendidikan negara serta imej pendidikan Islam.

“Kejadian seperti itu memburukkan imej pihak berkuasa tempatan dan jabatan agensi penguatkuasaan yang mengeluarkan garis panduan harus dipatuhi semua maahad tahfiz dan sekolah agama rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi dialog perdana Transformasi Nasional 2050 (TN50) Kluster Keselamatan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak selaku moderator sesi dialog perdana turut dihadiri lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mesyuarat pertama Pasukan Petugas Khas yang diumumkan semalam akan diadakan Selasa ini, membabitkan penyertaan beberapa menteri berkaitan pendidikan, pendidikan agama, penguatkuasaan PBT, jabatan serta agensi berkaitan.

Wajib daftar

Katanya, kes kebakaran di sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz tidak lagi boleh dibendung.

“Kita harap syor dalam siasatan kebakaran Pondok Pak Ya diguna pakai sebagai garis panduan untuk sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz di seluruh negara,” katanya.

Mengulas kemungkinan kerajaan mewajibkan semua maahad tahfiz dan sekolah agama rakyat didaftarkan dengan satu agensi yang boleh dikawal selia oleh kerajaan, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan mempunyai Dasar Pendidikan Sekolah Tahfiz di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tetapi tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Beliau berkata, JAKIM hanya ada kuasa penyelarasan, manakala penguatkuasaan dan pelaksana adalah Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri.

“Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam harus menjadikan penyelarasan maahad tahfiz dan sekolah agama rakyat agenda mesyuarat akan datang,” katanya.

Usah buat spekulasi

Mengenai spekulasi tong gas berada di tempat kejadian, beliau berkata, perbincangan diadakan dengan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Ketua Polis Kuala Lumpur mengenai kemungkinan kebakaran.

“Kita tidak harus buat spekulasi hingga siasatan secara konklusif dijalankan dan hasil siasatan akan dikemukakan kepada Pasukan Petugas Khas serta dimaklumkan kepada umum jika ada unsur jenayah dan unsur di luar daripada kesilapan teknikal, termasuk gangguan litar pintas,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.