Dua pelajar masih kritikal

Mangsa dirawat di ICU, HKL belum sedarkan diri

Berita Harian - - TRAGEDI -

Dua pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur yang terbabit dalam kebakaran kelmarin masih kritikal.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata dua pelajar lelaki berusia belasan tahun itu dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan sehingga petang semalam masih belum sedarkan diri.

“Keadaan dua pelajar yang parah itu memang kritikal dengan seorang daripadanya melecur teruk serta darah masih keluar dari badannya manakala seorang lagi cedera dalaman, termasuk patah tulang rusuk dan tercucuk paru-paru mangsa.

“Pasukan perubatan sedaya upaya memberi rawatan terbaik kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Perarakan Hari Malaysia Peringkat Universiti Teknologi MARA (UITM) cawangan Pulau Pinang di Permatang Pauh, di sini semalam.

Dalam kejadian itu, 21 pelajar dan dua guru terkorban dalam kebakaran pada jam 5.15 pagi kelmarin.

Enam pelajar lain dan seorang awam turut cedera dalam kebakaran itu.

Hilmi yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, empat pelajar dan seorang awam yang cedera dalam kejadian itu dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di HKL.

“Mereka yang lain itu mengalami pelbagai kecederaan antaranya patah tangan, patah kaki, patah pinggang, patah tulang rusuk, patah punggung dan dalam lawatan saya semalam (kelmarin) ke hospital mendapati mereka stabil.

“Mereka tercedera selepas terjun dari bangunan pusat tahfiz berkenaan kerana mahu menyelamatkan diri.

“Cuma seorang yang tidak cedera kerana dia menyelamatkan diri dengan menggelongsor menerusi batang paip,” katanya.

Proses DNA selesai awal

Sementara itu, beliau berkata ujian asid deoksiribonukleik (DNA) semua mayat mangsa dapat diselesaikan lebih awal berbanding jangkaan kerana mendapat bantuan doktor dan petugas daripada hospital berdekatan, iaitu Hospital Ampang dan Hospital Selayang yang membantu petugas Institut Perubatan dan Forensik Negara.

“Kami mempunyai pasukan perubatan yang cukup malah dibantu doktor dari hospital berdekatan bagi mempercepat proses DNA berkenaan,” katanya.

Keluarga pelajar tidak dapat menahan sebak ketika menuntut jenazah di Hospital Kuala Lumpur, semalam. Dr Hilmi Yahaya, Timbalan Menteri Kesihatan Jenazah diusung keluar dari Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.