Bayi diselamat anak naib pengetua tahfiz

Pengurusan turut nafi ada tong gas di hadapan pintu asrama

Berita Harian - - TRAGEDI -

Bayi perempuan yang diselamatkan dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini, awal pagi kelmarin ialah anak kepada naib pengetua tahfiz berkenaan.

Perkara itu disahkan Muhammad Umai Mohd Gunawan, seorang daripada empat tenaga pengajar yang berada di tingkat dua bangunan terbabit ketika kejadian.

Muhammad Umai berkata, naib pengetua pusat tahfiz berkenaan berada di Tanah Suci ketika ini, manakala keluarganya merangkumi isteri, adik ipar dan empat anak perempuan tinggal bersebelahan asrama pelajar tahfiz terbabit.

“Saya ada dengar bayi perempuan itu diselamatkan seorang pelajar tahfiz berkenaan.

Tiada unsur mencurigakan

“Ahli keluarga lain dibawa turun oleh bomba tidak lama kemudian,” katanya ketika ditemui BH di pusat tahfiz berkenaan, semalam.

Ditanya mengenai kemunculan tong gas di hadapan pintu asrama pelajar di tingkat tiga, Muhammad Umai menafikan perkara itu dan menegaskan tiada unsur mencurigakan sebelum kebakaran berlaku.

“Saya membuat semakan pelajar kira-kira jam 2 pagi semalam (kelmarin).

“Saya ke tandas di tingkat tiga dan tutup pintu asrama seperti biasa.

“Saya tak nampak tong gas seperti diperkata pihak bomba ketika menyiasat kejadian itu,” katanya.

[FOTO SAIRIEN NAFIS/BH]

Ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan ketika menuntut jenazah di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.