Mimpi dialami Sapiah petanda hilang tiga cucu serentak

Berita Harian - - TRAGEDI -

Kuala Lumpur: “Saya mimpi ada orang kasi tiga ekor ayam putih tapi saya tak nak.

“Saya minta tukar ayam warna lain”. Mimpi dialami Sapiah Harun, 70, beberapa hari lalu kini ditafsir sebagai petanda kehilangan tiga cucu serentak dalam tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, kelmarin.

Beliau mengakui asyik teringat mimpi itu dan berasa tidak sedap hati kerana warna putih kerap membawa maksud kurang baik.

Kebimbangannya menjadi kenyataan apabila mendapat tahu mengenai kebakaran berkenaan pada jam 1 tengah hari semalam dan tiga cucu kesayangannya terkorban.

Telefon nenek

Tiga beradik iaitu Muhd Syafiq Haikal Mohd Sulaiman, 13; Muhd Hafiz Iskandar, 11, dan Muhd Harris Ikhwan, 10, adalah antara 21 pelajar yang meninggal dunia dalam tragedi berkenaan, selain dua warden asrama.

Sapiah berkata, Muhd Syafiq Haikal menghubunginya melalui telefon Rabu lalu.

“Dia sebut teringin tinggal bersama saya musim cuti sekolah nanti sebab ketika itu musim rambutan,” katanya sambil menahan kesedihan.

Jemaah tinjau pusat tahfiz

Sementara itu, ratusan jemaah mengambil kesempatan meninjau pusat tahfiz itu selepas solat Jumaat di surau, Al Madarsatul Ittifaqiyah, bersebelahan bangunan yang terbakar, di sini.

Mereka meluangkan masa kira-kira 30 minit bagi melihat sendiri keadaan pusat tahfiz itu selepas kejadian semalam meragut 23 nyawa.

Pengunjung turut dilihat memberikan kata-kata semangat dan sumbangan kepada wakil pusat tahfiz berkenaan.

Sementara itu, ahli jawatankuasa surau berkenaan mengumumkan akan menguruskan sumbangan orang ramai ke pihak tahfiz menerusi akaun bank CIMB.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.