‘Tanggapan ke pusat tahfiz jaminan syurga salah’

Berita Harian - - TRAGEDI -

Kuala Lumpur: Tanggapan sesetengah ibu bapa dengan menghantar anak ke pusat tahfiz sebagai jaminan syurga salah.

Felo Utama Fakulti Kepemimpinan dan Pengurusan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Tan Sri Abdul Shukor Hussin, berkata anggapan itu menyebabkan segelintir ibu bapa tidak dapat menilai kualiti sekolah agama anak mereka.

Beliau berkata, walaupun ramai menyedari pemikiran itu salah, namun tidak ramai berusaha untuk membetulkannya hingga ada ibu bapa menerapkan dalam pemikiran bahawa menghantar anak ke sekolah tahfiz menjadikan mereka anak baik dan sebagai penolong ibu bapa di akhirat.

“Syurga hak Allah dan tiada sebarang jaminan kerana kita hanya boleh berusaha menuju ke syurga. Jangan mengorbankan anak ke tahfiz hanya untuk matlamat ini, sebaliknya ibu bapa perlu memahami dan mengatur pendidikan anak mengikut kemampuan mereka.

“Jika anak mereka berkemampuan, ibu bapa hendaklah selidik terlebih dahulu latar belakang, sistem pengajian tahfiz, guru dan prasarana yang kondusif serta selamat sebelum menghantar anak mereka di sekolah berkenaan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, berkata ibu bapa seharusnya meletakkan matlamat menghantar anak ke sekolah tahfiz untuk dunia dan akhirat.

Pastikan ada aliran akademik

“Jika ibu bapa hendak menghantar anak ke maahad tahfiz, pastikan sekolah itu mempunyai aliran akademik. Namun, apa yang menjadi masalah ialah ramai ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah yang hanya menjurus kepada pengajian tahfiz tanpa belajar Matematik, Sains dan Sejarah,” katanya.

Menurut beliau, pengabaian subjek akademik menyukarkan pelajar selepas habis pengajian kelak.

“Hakikatnya, kebaikan hafiz kepada masyarakat ada banyak tetapi ia perlu dikembangkan, iaitu jika seseorang itu belajar tahfiz, mereka juga perlu mengimbangi ilmu itu dengan akademik atau bidang lain supaya hafiz lebih berdaya saing dan kukuh pada mata masyarakat,” katanya.

Abdul Shukor Hussin, Felo Utama Fakulti Kepemimpinan dan Pengurusan Islam, USIM

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.