Audit semua pusat tahfiz: GPMS

Proses perlu babit aspek keselamatan, kewangan, kokurikulum

Berita Harian - - TRAGEDI -

Pusat tahfiz perlu melalui proses pengauditan bagi memperkasa sistem pendidikan agama.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa, berkata proses audit itu membabitkan aspek keselamatan, kewangan, kokurikulum dan semakan latar belakang tenaga pengajarnya.

Katanya, sudah tiba masa pusat tahfiz disemak sepenuhnya bagi mengelak ia dimanipulasi selain memastikan matlamat kewujudannya tercapai.

“GPMS mencadangkan supaya semua pusat tahfiz diaudit terutama dari aspek keselamatan bagi membendung sebarang kemalangan seperti yang berlaku barubaru ini dan tragedi yang mengorbankan 27 nyawa di Kedah hampir 30 tahun lalu.

“Bukan sahaja audit keselamatan, semua perlu diaudit termasuk bagaimana ia menjana pendapatan dan kewangan, kokurikulum serta guru yang mengajar di situ,” katanya ketika dihubungi, semalam. Presiden GPMS

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Dato Keramat di sini, yang mengorbankan 23 nyawa kelmarin.

Garis panduan lebih jelas

Zambri berkata, kerajaan perlu menubuhkan badan pengelola peringkat kebangsaan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memantau operasi pusat tahfiz seluruh negara.

“Sedangkan pusat asuhan kanakkanak perlukan lesen untuk beroperasi, inikan pula institusi tahfiz. Pusat tahfiz perlu ada garis panduan yang lebih jelas dan melalui proses penguatkuasaan supaya ia menjadi lebih sistematik.

“Walaupun usaha menubuhkan institusi tahfiz murni, ia harus mengikut piawaian dan diteliti secara menyeluruh dari pelbagai aspek,” katanya.

Katanya, GPMS akan menganjurkan perbincangan meja bulat dengan pertubuhan bukan kerajaan dan pengusaha pusat tahfiz sebagai usaha memantapkan peranan institusi berkenaan.

Keratan BH semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.