Gelanggang Futsal Cruyff manfaat komuniti berpendapatan rendah

Kemudahan serba baharu sedia kawasan riadah selamat, moden untuk penghuni PPR

Berita Harian - - PRASARANA - Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar bhnews@bh.com Kuala Lumpur

Gelanggang Futsal Cruyff di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, di sini, memberi manfaat kepada lebih 1,000 penduduk sejak pembukaan kemudahan itu, pada awal bulan ini.

Ia adalah satu daripada dua gelanggang sumbangan Yayasan Hasanah (Hasanah), sebuah yayasan berasaskan impak milik Khazanah Nasional, dengan kerjasama Yayasan Cruyff sempena Sambutan Hari Hasanah pada 4 September lalu, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di PPR Seri Semarak.

Tinjauan bersama wakil Hasa- nah di PPR Kampung Baru Air Panas, baru-baru ini, mendapati gelanggang berkenaan amat bermanfaat kepada penduduk terutama kanak-kanak dan belia.

Kemudahan serba baharu itu menyediakan gelanggang futsal yang selesa, selain dilengkapi lampu sorot gelanggang dan pagar anti-panjat.

Naib Presiden Kanan Hasanah, Stanley Siva, berkata pembinaan gelanggang itu menyediakan kawasan bersukan yang selamat dan moden untuk penduduk.

“Gelanggang Futsal Cruyff ini merupakan satu inisiatif Hasanah untuk memberikan akses kepada kemudahan sukan yang moden dan selamat bagi komuniti kurang berkemampuan khususnya dari golongan B40.

Terap semangat kesukanan

“Kami melihat bidang sukan memberi impak besar dalam memperkasakan belia. Penyediaan kemudahan ini membentuk personaliti golongan berkenaan dengan menerapkan semangat kesukanan dan nilai murni.

“Malah, usaha ini dapat mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya pada sesi lawatan bersama media ke gelanggang Futsal Cruyff, di sini.

Gelanggang Futsal Cruyff adalah program kemudahan sukan komuniti diilhamkan legenda bola sepak antarabangsa, mendiang Johan Cruyff menerusi Yayasan Cruyff.

Program itu menerapkan semangat kesukanan dan nilai murni menerusi ‘14 Peraturan Cruyff Court’, antaranya kerjasama, hormat dan kreativiti.

Malaysia adalah negara kedua di rantau Asia selepas Jepun membina gelanggang Futsal Cruyff.

Sehingga kini, ada empat gelanggang itu di Malaysia, iaitu di Kampung Melayu Majidee Johor Bahru yang dibina pada 2012; Brickfields (2013) dan di PPR Air Panas dan Sri Semarak di ibu negara.

Siva berkata, kemudahan itu dibina di kawasan terpilih selain mengikut spesifikasi gelanggang yang ditetapkan.

Antara kriteria pemilihan lokasi gelanggang Futsal Cruyff adalah kepadatan penduduk, kawasan sekolah dan latar belakang demografik masyarakat setempat.

Kemudahan sukan bertaraf antarabangsa

“Gelanggang ini dibina berdasarkan piawaian yang ditetapkan Yayasan Cruyff, termasuk penggunaan rumput sintetik yang diimport dari Belanda dan memasang aksesori lain.

“Lokasi terbabit dipilih supaya masyarakat berpeluang menggunakan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, satu jawatankuasa diwujudkan antara Hasanah bagi kerja penyelenggaraan dan kelancaran operasi kemudahan berkenaan .

Jawatankuasa itu dianggotai pihak ketiga dan wakil penduduk untuk menguruskan gelanggang.

“Mereka bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan kemudahan itu sebagai aset kepada kemuniti di situ,” katanya.

Walaupun diuruskan jawatankuasa khas, Hasanah memantau kemudahan itu bagi memastikan dijaga dan diselenggara dengan baik.

Menerusi kerjasama Hasanah dengan Yayasan Cruyff, pelbagai program dilaksanakan untuk manfaat pengguna gelanggang itu seperti memberi kursus jurulatih bola sepak kepada penduduk tempatan.

Siva berkata, perancangan jangka panjang Hasanah termasuk membina sekurang-kurangnya satu gelanggang di setiap negeri.

“Hasanah berhasrat memperluaskan program ini ke seluruh negara secara berperingkat.

“Mungkin pada masa akan datang kita berpeluang menyaksikan pertandingan futsal liga komuniti antara negeri suatu hari nanti.” katanya.

Yayasan Hasanah melihat bidang sukan memberi impak besar dalam memperkasakan belia. Penyediaan kemudahan ini membentuk personaliti golongan berkenaan dengan menerapkan semangat kesukanan dan nilai murni” Stanley Siva, Naib Presiden Kanan, Yayasan Hasanah

[FOTO MAHZIR MAT ISA/BH]

menyediakan kawasan bersukan dengan rekaan yang selamat dan moden untuk penghuni di PPR Air Panas, Kuala Lumpur.

Gelanggang Futsal Cruyff

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.