Hasil kejayaan kerajaan dipamer

Berita Harian - - HARI MALAYSIA -

Putrajaya: Ekspo Negaraku 2017 yang julung kali diadakan akan mempamerkan segala hasil kejayaan dan gambaran perancangan pembangunan kerajaan yang sudah dan bakal dibina untuk rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata Ekspo Negaraku 2017 oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) itu akan diadakan dalam dewan pameran sementara di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Katanya, ia dibuka percuma setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam selama sebulan dari 15 November hingga 15 Disember ini.

“Ekspo ini adalah ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Beliau berhasrat agar ekspo ini menjadi medium terbaik untuk rakyat melihat, mendengar dan merasai sendiri segala pencapaian pembangunan dan infrastruktur yang dihasilkan oleh kerajaan.

Gambaran kemajuan dicapai

“Diharap ekspo ini mampu menjadi satu bingkisan gambaran sejauh mana kemajuan yang sudah kita capai hasil usaha kepemimpinan pihak kerajaan dan sokongan padu yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis prapelancaran Ekspo Negaraku 2017 di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah EPU, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.

Abdul Rahman berkata, dewan pameran sementara itu bakal menarik perhatian ramai kerana ia dibina berasaskan teknologi canggih.

“Bangunan ini akan dibina menggunakan lima kubah geodesi yang melambangkan lima prinsip Rukun Negara iaitu kubah pertama berkonsepkan seperti sebuah teater; kubah kedua, berbentuk ruang pameran bervisual yang menggunakan teknologi elektronik.

“Kubah ketiga juga berbentuk ruang pameran tetapi menonjolkan kejayaan program dan inisiatif dalam meringankan kos sara hidup rakyat; manakala kubah keempat dan kelima berkonsepkan pusat video interaktif.

“Bagi mereka yang berada di luar Lembah Klang yang berminat untuk melawat Ekspo Negaraku boleh menulis secara rasmi kepada urus setia untuk urusan khas bagi pengangkutan dan penginapan ke exponegaraku@gmail.com atau hubungi 016-8689830,” katanya.

[FOTO MOHD FADLI HAMZAH/BH]

Nik Azman (kiri) bersama Timbalan Ketua Pengarah (Sektoral) Datuk Allauddin Anuar menunjukkan logo Ekspo Negaraku 2017 di Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.