Tabung Kemanusiaan Rohingya MPB terima RM58,000

Sumbangan diperoleh daripada Persatuan Superbikers Malaysia, Kelab KDN

Berita Harian - - ROHINGYA - Oleh Nazura Ngah nazura_ngah@bh.com.my Kuala Lumpur

Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima Berhad (MPB) yang dilancarkan November tahun lalu, menambah dana menerusi sumbangan RM58,000 daripada Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) dan Kelab Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Daripada jumlah itu, SAM menyumbang RM38,000 manakala baki RM20,000 disumbangkan Kelab KDN.

Sumbangan disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, merangkap Menteri Dalam Negeri kepada Pengerusi Kumpulan MPB, Tan Sri Ismee Ismail semalam.

Majlis penyerahan sumbangan itu dibuat sempena sesi Dialog Perdana Transformasi Nasional 2050 (TN50) Kluster Keselamatan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini.

100 NGO hadir sesi dialog

Sesi dialog perdana yang disertai lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Tabung Kemanusiaan Rohingya MPB diwujudkan bagi membantu masyarakat Rohingya menerusi aspek bantuan dan sokongan perubatan serta misi kemanusiaan.

Pada 3 Mei lalu, tabung kemanusiaan itu menyumbang RM20,000 dalam bentuk bekalan makanan kepada etnik berkenaan yang ditindas dan dizalimi ketika misi ‘Food Flotilla for Myanmar’ anjuran Kelab Putera 1Malaysia, Majlis Perundingan Islam Malaysia dan Turkiye Diyanet Vakfi.

Turut salur kepada Mercy

Tabung Kemanusiaan Rohingya MPB turut menyumbang sebanyak RM735,655.45 kepada Mercy Malaysia yang mengendalikan perkhidmatan penjagaan kesihatan di Myanmar bagi membantu masyarakat Rohingya mendapatkan bantuan perubatan pada 4 Julai lalu.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Rohingya MPB boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 5642-7652-2630.

[FOTO ASYRAF HAMZAH/BH]

Ahmad Zahid menyampaikan replika cek daripada Kelab KDN bagi Tabung Kemanusiaan Rohingya Media Prima kepada Ismee (kiri) sambil disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim (kanan) di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.