IMARET buka klinik sementara di sempadan

Berita Harian - - ROHINGYA - Tentera Bangladesh bantu Rohingya Ms. 85

Kuala Lumpur: Terkesan dengan krisis pelarian etnik Rohingya di barat Myanmar, badan kemanusiaan dari Malaysia, IMARET akan membuka klinik sementara atau field clinic di sempadan Bangladesh-myanmar, selewat-lewatnya awal Oktober.

Pasukan Tindakan dan Kebajikan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) akan menghantar doktor sukarelawan dari Malaysia untuk bertugas di hospital itu.

Beroperasi dua bulan

Ketua Koordinator IMARET, Dr Ahmad Munawwar Helmi, berkata klinik sementara itu akan beroperasi selama dua bulan bagi memberi khidmat kesihatan kepada pelarian Rohingya.

Katanya, isu kesihatan antara keperluan mendesak ribuan pelarian Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh selain bekalan air bersih, makanan dan tempat perlindungan.

“Kami akan hantar tiga sukarelawan dalam pasukan tinjauan awal minggu depan.

“Pasukan ini juga akan menyalurkan bantuan kecemasan seperti makanan dan khemah hasil sumbangan rakyat Malaysia,” katanya kepada BH di sini semalam.

Lebih 400,000 etnik Rohingya lari ke Bangladesh sejak 25 Ogos lalu selepas operasi berdarah tentera Myanmar yang dilapor media turut menyasarkan orang awam di utara Rakhine (barat Myanmar).

Dr Ahmad Munawwar berkata operasi hospital sementara itu membabitkan kerjasama NGO tempatan dan antarabangsa selain pihak berkuasa.

Orang ramai yang ingin menyumbang dalam program kemanusiaan IMARET boleh berbuat demikian dengan melayari https://m.facebook.com/imamresponseandrelief atau emel imamrelief@gmail.com.

Kami akan hantar tiga sukarelawan dalam pasukan tinjauan awal minggu depan Ahmad Munawwar, Ketua Koordinator IMARET

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.