Ahmad Fuaad lepas jawatan CEO PROTON

Langkah sejajar proses urus niaga pembelian Geely ke atas PROTON selesai

Berita Harian - - BISNES - Oleh Mohd Zaky Zainuddin

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PROTON Holdings Bhd (PROTON), Datuk Ahmad Fuaad Kenali akan melepaskan jawatannya dalam syarikat pengeluar kereta nasional berkuat kuasa 30 September ini.

DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) berkata, langkah yang diambil Ahmad Fuaad yang menerajui PROTON sejak April 2016 itu sejajar dengan proses memuktamadkan urus niaga pembelian kepentingan 49.9 peratus Zhejiang Geely Holding Group (Geely Holding) ke atas syarikat itu.

“Apabila transaksi ini selesai, Geely Holding akan menamakan seorang calon yang sesuai sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB), iaitu anak syarikat penuh PROTON yang berfungsi sebagai syarikat pengeluar, operasi, pembuatan dan pemasaran yang utama,” katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam, semalam.

Operasi PROTON meningkat

Mengulas mengenainya, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar, berkata ketika era kepimpinan singkat Ahmad Fuaad, PROTON mengalami peningkatan konsisten dalam operasi perniagaan.

“Ahmad Fuaad bakal memegang peranan yang lebih besar dalam syarikat berkait dengan kumpulan dan ahli Lembaga Pengarah mendoakan yang terbaik bagi kerjaya beliau pada masa hadapan.

Dari Ms.27

“Sepanjang kepemimpinannya, PROTON melancarkan empat model baharu dalam tempoh hanya lapan bulan. Beliau juga memainkan peranan penting dalam pencarian rakan strategik yang sesuai untuk PROTON,” katanya.

Selain itu, DRB-HICOM turut mengumumkan Syed Faisal akan meneruskan peranan utamanya sebagai Pengerusi Keseluruhan PROTON.

“Antara lain, Syed Faisal berperanan untuk memastikan kerjasama ini dapat mencapai matlamatnya dan akhirnya, memberikan pulangan pelaburan kepada pemegang saham, iaitu DRB-HICOM dan Geely Holding,” kata DRB-HICOM.

Komposisi lembaga pengarah

Sementara itu, menerusi transaksi dua entiti terbabit, DRB-HICOM dan Geely Holding, masing-masing memegang 50.1 peratus dan 49.9 peratus kepentingan dalam Kumpulan PROTON.

Kumpulan PROTON dibahagikan kepada tiga entiti utama PROTON yang menjadi syarikat induk; PONSB; dan PROTON Edar Sdn Bhd, juga anak syarikat penuh PROTON, sebagai pengedar utama PROTON.

Bagi ketiga-tiga syarikat itu, DRB-HICOM mempunyai satu kerusi tambahan pada peringkat Lembaga Pengarah, menyamai pegangan yang dimilikinya.

“Apabila transaksi dimuktamadkan kelak, satu pengumuman akan dibuat berkaitan komposisi lembaga pengarah syarikat ini. Ketiga-tiga syarikat terbabit akan mempunyai wakil daripada DRB-HICOM dan Geely Holding,” jelas DRB-HICOM.

Antara inti pati Perjanjian Muktamad yang ditandatangani DRB-HICOM dan Geely Holding, syarikat China itu bukan saja melabur Kumpulan PROTON, tetapi juga berkongsi kepakaran dalam pengeluaran, operasi, pembuatan dan pemasaran, terutama di PONSB.

“PONSB adalah sebahagian besar daripada operasi Kumpulan PROTON, justeru, pemilihan individu yang tepat untuk tugasan ini amat kritikal. Satu pengumuman akan dibuat kelak,” jelas Syed Faisal.

Jawatan Radzaif, Rashid kekal

Bagi memastikan proses integrasi lancar, DRBHICOM juga mengumumkan bahawa Datuk Mohd Radzaif Mohamed akan kekal sebagai antara seorang pegawai utama di Kumpulan PROTON dan meneruskan peranannya sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di PONSB.

Sementara itu, Abdul Rashid Musa, yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar Sdn Bhd pada Februari 2017, juga akan meneruskan peranannya di pusat pengedaran syarikat.

“Mengekalkan Radzaif dan Rashid di jawatan masing-masing akan memastikan kesinambungan Kumpulan PROTON. Ia juga akan membantu CEO baharu untuk PONSB dan ini akan memanfaatkan usaha sama ini,” tambah Syed Faisal.

Datuk Ahmad Fuaad Kenali

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.