KHAZANAH, KWSP

Cadangan pelaburan di luar negara dibuat teliti

Berita Harian - - BISNES - Oleh Shahrizan Salian

Khazanah Nasional Bhd mengamalkan proses penilaian dan pengesanan yang ketat terhadap semua cadangan pelaburan, termasuk membabitkan penelitian terperinci dan pelbagai laluan masuk pelaburan sebelum dihantar kepada Lembaga Pengarah untuk dipertimbang serta diluluskan.

Secara keseluruhan, penjanaan nilai jangka panjang daripada portfolio pelaburannya kekal stabil, dengan portfolio Nilai Bersih Dilaraskan (NWA) Khazanah meningkat 3.1 kali ganda,atau berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 9.3 peratus setahun, dalam tempoh Mei 2004 hingga 31 Disember 2016.

“Sejajar dengan mandat kami sebagai sebagai dana pelaburan strategik yang menjana nilai jangka panjang untuk Malaysia melangkaui pelbagai sektor dan geografi, Khazanah akan terus meneroka peluang pelaburan di Amerika Syarikat (AS), dengan tumpuan terutama kepada sektor inovasi serta teknologi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sayap pelaburan kerajaan itu merujuk kepada beberapa laporan berita dan kenyataan berhubung pelaburannya di AS, susulan lawatan rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke negara berkenaan.

Pelaburan Khazanah di AS

Kenyataan itu berkata, sejajar dengan dasarnya untuk mempelbagaikan secara progresif portfolio pelaburan di luar negara, Khazanah membuka Khazanah Americas Incorporated di San Francisco pada September 2013, dengan tumpuan terhadap sektor inovasi dan teknologi.

Katanya, pejabat San Francisco adalah pejabat luar negara Khazanah kelima di luar negara selain Beijing, Mumbai, Istanbul dan London.

“Sehingga kini, Khazanah membuat 15 pelaburan bernilai kira-kira AS$410 juta (RM1.71 bilion) di AS, terutama di dalam sektor teknologi.

“Pelaburan kami di AS merangkumi 1.3 peratus portfolio Nilai Aset Boleh Direalisasi (RAV) bernilai RM145.3 bilion setakat 31 Disember 2016,” katanya.

Ketika kunjungannya ke AS minggu ini, Perdana Menteri mengumumkan Khazanah merancang untuk menambah pelaburan sedia adanya di negara itu daripada AS$450 juta sekarang.

Jaminan KWSP kepada pencarum

Dalam kenyataan berasingan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut menjamin 14 juta pencarumnya bahawa semua cadangan pelaburan diteliti secara menyeluruh.

Ia juga menegaskan hanya akan melabur di dalam aset yang sepadan dengan profil pulangan risikonya, sebelum dihantar kepada panel pelaburan.

Dana persaraan pekerja swasta itu berkata, ketika mempertimbangkan sebarang keputusan pelaburan, ia mengikuti proses yang memerlukannya melalui jawatankuasa pengurusan terlebih dulu dan ketika inilah cadangan diteliti sejajar dengan strategi mempelbagaikan pelaburan jangka panjangnya.

Katanya, ia juga sejajar dengan mandat KWSP untuk mengembangkan simpanan persaraan pencarum dengan melabur hanya di dalam aset yang menepati risiko pelaburan.

“Kelulusan akhir kemudian diperoleh daripada panel pelaburan, terdiri daripada anggota kanan pengurusan KWSP, profesional industri dan kerajaan,” katanya.

Sebagai sebuah badan berkanun, KWSP berkata, ia ditadbir urus oleh Lembaga Pengarah yang ahlinya termasuk wakil daripada majikan, pekerja, profesional industri dan kerajaan.

“Lembaga Pengarah memberi jaminan bahawa KWSP melaksanakan tanggungjawabnya untuk melindungi kepentingan semua 14 juta pencarum,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.