Negara ITRC setuju perluas guna domestik getah asli

Berita Harian - - BISNES -

Malaysia, Thailand dan Indonesia bersetuju untuk memperluaskan lagi penggunaan domestik getah asli bagi menangani ketidakstabilan harga komoditi itu dan lebihan stok di pasaran.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata ia adalah antara persetujuan yang dicapai ketika mesyuarat Jawatankuasa Menteri Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) yang dianggotai ketiga­tiga negara itu berlangsung di Bangkok, semalam.

Diterajui Malaysia

“Malaysia berada di hadapan dalam penggunaan domestik getah asli dan Thailand serta Indonesia akan mengikut jejak Malaysia untuk memperluaskan lagi penggunaan domestik getah asli mereka,” katanya selepas mesyuarat itu.

Beliau berkata, ketika ini, penggunaan domestik getah asli Malaysia mencecah 75 peratus dan akan terus meningkat kepada 80 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.

Mesyuarat Jawatankuasa Menteri ITRC itu dipengerusikan Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, Jen Chatchai Sarikulya.

Selain Siew Keong, mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Perdagangan Indonesia, Enggartiasto Lukita serta anggota Lembaga Pengarah Konsortium Getah Antarabangsa (IRCO).

Usaha tingkat penggunaan

Menurut Siew Keong, ketiga­tiga negara juga bersetuju untuk membina lebih banyak jalan raya menggunakan getah, selain mempertingkatkan penggunaan getah asli dalam pelbagai sektor lain seperti pengangkutan dan infrastruktur.

Malaysia katanya, adalah negara model bagi pembinaan jalan raya menggunakan getah.

Ketika mesyuarat itu, ketiga­tiga negara turut menyasarkan usaha meningkatkan penggunaan getah asli pada peringkat domestik masing­masing sebanyak 10 peratus setiap tahun.

Bagi Malaysia, Siew Keong berkata, kestabilan harga getah asli adalah amat penting, selari dengan hasrat yang disuarakan lebih 400,000 pekebun kecil getah ketika siri dialog bersama mereka.

“Kita tidak mahu harga turun naik secara mendadak. Kita mahu harga stabil kerana itulah hasrat pekebun kecil,” katanya sambil menambah, bahawa harga getah asli dijangka meningkat tahun depan daripada paras RM1.60 hingga RM2 sekilogram ketika ini.

Vietnam anggota baharu

Selain itu, Siew Keong berkata, ITRC juga bersetuju menerima Vietnam sebagai anggota terbarunya, sekali gus menjadikan 80 peratus daripada output getah dunia adalah dihasilkan oleh negara ITRC.

Malaysia adalah negara pengeluar getah keenam terbesar dunia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.