Projek perumahan hijau Ecoworld

Eco Forest Branang gabungkan semua elemen diimpikan pembeli

Berita Harian - - HARTANAH - Oleh Alzahrin Alias zahrin@bh.com.my

Memiliki kediaman mewah dikelilingi kawasan hijau pasti menjadi idaman kepada pembeli, apatah lagi ia bakal memberikan satu suasana seolah berada jauh di pedalaman.

Inilah konsep yang diketengahkan Eco World Development Group Bhd (Ecoworld) terhadap projek perumahan baharu mereka Eco Forest yang terletak di Beranang, Selangor.

Memperkenalkan rumah berkembar dua tingkat dan rumah teres dua tingkat, Eco Forest bukan sahaja memberikan rekaan rumah yang moden tetapi ia turut menyelitkan unsur alam dalam setiap rumah mereka.

Inspirasi Bukit Broga

Pengurus Besar Bahagian Ecoworld, Evon Yap, berkata mendapat inspirasi dari Bukit Broga yang terletak tidak jauh dari kawasan perumahan baharunya itu, Eco Forest menggabungkan semua elemen yang diimpikan pembeli.

Katanya, Eco Forest mempunyai empat jenis rumah berkembar dan teres berkeluasan 20x65 kaki persegi, 20x70 kaki persegi, 22x70 kaki persegi dan 30x62 kaki persegi.

“Selain rekaan rumah moden dan mempunyai pelbagai jenis yang menepati kehendak pembeli kini, kami juga menyediakan kemudahan lain seperti taman utama dilengkapi laluan pejalan kaki, kolam dan beberapa taman kecil.

“Sekitar kawasan Eco Forest juga dikekalkan dengan pokok sedia ada dan baharu ditanam bagi memberikan lagi suasana seolah-olah berada dalam resort di tengah hutan,” katanya kepada BH Hartanah yang berpeluang menjadi media pertama melihat sendiri rumah contoh dan projek taman di Eco Forest.

Projek ikonik Ecoworld

Laluan masuk ke Eco Forest juga unik, dilengkapi dengan pintu gerbang istimewa, selain laluan masuk kiri kanan dilengkapi pokok buluh khas, memberikan elemen mengalukan kedatangan pengunjung.

Yap berkata, Eco Forest dibangunkan di kawasan seluas 515 ekar (208 hektar) bakal menjadi satu lagi projek ikonik Ecoworld dalam memberikan projek perumahan yang tidak sekadar menumpukan kepada rumah tetapi elemen lain di sekeliling.

Beliau berkata, apa yang istimewa mengenai projek Eco Forest ini adalah setiap rumah yang dibina mempunyai kawasan halaman di hadapan dan belakang rumah.

Katanya, ini bagi memberikan pembeli satu kawasan hijau yang boleh digunakan sebaik mungkin oleh mereka untuk bercucuk tanam dan menambahkan lagi elemen hijau.

Malah katanya, kawasan lorong belakang rumah juga tidak dibiarkan kosong kerana pihaknya menyediakan laluan pejalan kaki dilengkapi dengan tumbuhan dan lampu jalan.

“Jika biasanya lorong belakang rumah dibiarkan kosong dan tiada apa yang menarik tetapi bagi projek kali ini kami memberikan sedikit kelebihan.

“Lorong belakang dijadikan sebagai salah satu elemen penting untuk berjoging atau bersiar-siar, dilengkapi dengan lampu jalan dan tumbuhan di sekelilingnya,” katanya.

Sasar jualan RM4 bilion

Eco Forest yang kini dalam pembangunan bakal dilancarkan penghujung tahun ini.

Sementara itu, ketika ini, Ecoworld memiliki 3,258.8 hektar simpanan tanah dengan nilai pembangunan kasar RM87.5 bilion.

Ecoworld menyasarkan jualan RM4 bilion bagi 2017 dan optimis untuk mencapai jumlah itu, terutama menerusi tiga projek pembangunan baharunya, iaitu pembangunan Eco Forest kumpulan di Semenyih, Eco Business Park 5 di Ijok, kedua-duanya di Selangor dan Eco Horizon di Pulau Pinang.

Selain rekaan rumah moden dan mempunyai pelbagai jenis yang menepati kehendak pembeli kini, kami juga menyediakan kemudahan lain seperti taman utama dilengkapi laluan pejalan kaki, kolam dan beberapa taman kecil” Evon Yap, Pengurus Besar Bahagian Ecoworld

[ FOTO NURUL SHAFINA JEMENON/BH ]

Yap bersama model projek pembangunan Eco Forest.

Rumah contoh Eco Forest.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.