Ezzaty jaga batas

Teliti terima tawaran elak singgung perasaan suami

Berita Harian - - VARIASI - fatin.farhana@bh.com.my Oleh Fatin Farhana Ariffin

Kemunculan pertama Ezzaty Abdullah di layar perak menerusi filem arahan Jason Chong, Kau Takdirku mencetuskan perdebatan ramai gara-gara babak intim yang dilakonkan bersama gandingannya, Remy Ishak.

Isu itu terlebih dulu diperkatakan sebelum Kau

Takdirku menemui penonton bermula 7 September lalu, membuatkan Ezzaty menjadi mangsa kecaman mereka yang membuta-tuli melontarkan komen tanpa mengetahui cerita sebenar.

Ezzaty, 27, bagaimanapun cuba untuk tidak mengambil hati, terutama jika komen itu datang daripada mereka yang tidak menyokong filem tempatan. Baginya, sudah menjadi lumrah bagi segelintir pihak yang gemar menghukum tanpa mengetahui cerita sebenar. “Bayangkan sebelum

Kau Takdirku ditayangkan, sudah ada yang membuat pelbagai ulasan berdasarkan rakaman babak yang tersebar. Saya terima jika kecaman itu datang daripada mereka yang sudah menonton filem itu.

“Tetapi, jika sebaliknya, saya enggan ambil tahu kerana mereka tidak menyokong filem itu. Sebagai pelakon, saya hanya menjalankan tanggung jawab berdasarkan tuntutan babak dan watak. Lagipun, babak yang dilakonkan itu tidak keterlaluan.

“Mungkin apa yang berlaku ini memberi pengajaran supaya saya lebih berhati-hati pada masa depan,” katanya.

Suami cemburu

Ezzaty bagaimanapun, bersyukur kerana suaminya, Azwan Kombos sejak awal lagi sudah bersedia menerima apa saja maklum balas penonton. Sebagai isteri, Ezzaty cuba bersikap jujur dengan menjelaskan kepada suaminya mengenai babak yang dilakonkannya itu.

“Tipu jika suami tidak cemburu, tetapi semua itu berlaku sebelum saya menjadi isterinya. Penggambaran filem ini dilakukan tiga tahun lalu ketika saya masih solo. Ketika itu, saya juga baru memulakan langkah dalam dunia lakonan.

“Apabila mendapat tahu filem itu akan ditayangkan, saya suarakan mengenai babak intim yang saya lakonkan. Syukur kerana Azwan memahami. Cuma, selepas berkahwin, sudah pasti saya lebih berhati-hati dan teliti sebelum menerima sesuatu tawaran.

“Azwan tidak pernah meletakkan syarat, tetapi sebagai isteri, saya perlu meletakkan batas untuk menjaga maruah dan nama baik suami. Dalam hal ini, suami begitu memahami, malah menyerahkan kepercayaan kepada saya untuk mencorakkan perjalanan kerjaya lakonan,” katanya.

PENGHARGAAN

PAKAIAN: FARAH SALLEH (INSTAGRAM: FARAHSALLEHKL) SOLEKAN: YANN RIFFT (INSTAGRAM: YANN_RIFFT)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.