Ditutup paras tertinggi harian

Minat belian akhir saham wajaran tinggi lonjak bursa

Berita Harian - - PORTFOLIO - ULASAN PASARAN

Bursa Malaysia meningkat daripada penurunan awal untuk ditutup pada paras tertinggi harian, didorong minat belian akhir dalam saham wajaran tinggi terpilih, antaranya Genting Malaysia, Sime Darby dan CIMB, kata peniaga.

Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada 1,786.33, meningkat 4.96 mata daripada 1,781.37 ketika ditutup pada Khamis, selepas bergerak serendah 1,776.87. Ia dibuka 2.62 mata lebih tinggi pada 1,783.99.

Lingkungan pasaran, bagaimanapun negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 510 berbanding 368, manakala 350 kaunter tidak berubah, 606 kaunter tidak diniagakan dan 38 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.15 bilion unit bernilai RM2.69 bilion daripada 1.90 bilion unit bernilai RM1.81 bilion pada Khamis.

Genting Malaysia dan IOI Corp adalah kaunter paling untung dalam kalangan saham wajaran tinggi, masing-masing meningkat 14 sen dan 12 sen kepada RM5.82 dan RM4.66.

Dua kaunter itu menyumbang keseluruhan 2.70 mata kepada kenaikan indeks penanda aras itu.

Peniaga berkata, wujud kebimbangan semula dalam pasaran serantau selepas Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu terkininya, hanya beberapa hari selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meluluskan sekatan baharu terhadap Pyongyang berikutan ujian nuklear pada 3 September.

Bagaimanapun, peniaga berkata, pasaran sudah terbiasa dengan faktor perkembangan Korea Utara termasuk laporan bahawa negara itu sedang bersedia untuk melancarkan peluru berpandu, sekali gus memberi kesan reaksi terhad kepada pasaran.

Sebelum ujian itu dilaksanakan, pasaran Asia kebanyakannya tinggi apabila memperoleh manfaat daripada data inflasi pengguna Amerika Syarikat (AS) yang positif, sekali gus menandakan kemungkinan kenaikan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS pada Disember.

Nikkei 225 Jepun meningkat 0.52 peratus kepada 19,909.50, Hang Seng Hong Kong menokok 0.11 peratus kepada 27,807.59 manakala Kospi Korea Selatan naik 0.35 peratus kepada 2,386.07 dan Indeks Straits Times Singapura susut 0.12 peratus kepada 3,217.15.

Bagi saham wajaran tinggi lain, Maybank dan TNB masing-masing turun dua sen kepada RM9.70 dan RM14.56, Public Bank kurang empat sen kepada RM20.54, namun CIMB meningkat enam sen kepada RM6.75 dan IOI Corp melonjak 12 sen kepada RM4.66.

Antara kaunter aktif, Sino Hua-an susut dua sen kepada 23.5 sen, Trive Property dan MLABS masing-masing turun setengah sen kepada 12.5 sen dan 10 sen, manakala Borneo Oil tidak berubah pada 10 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 36.39 mata kepada 12,723.68, Indeks FBMT 100 menokok 39.37 mata kepada 12,387.94 namun FBM Ace kurang 11.95 mata kepada 6,692.60.

Indeks FBM Emas Syariah bertambah 33.16 mata kepada 12,927.98 dan FBM 70 melonjak 67.15 mata kepada 15,246.88.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 47.85 mata kepada 7,970.66, Indeks Perusahaan naik 8.84 mata kepada 3,242.55 dan Indeks Kewangan menokok 4.09 mata kepada 16,828.98.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.54 bilion saham bernilai RM2.59 bilion daripada 1.19 bilion saham bernilai RM1.68 bilion pada Khamis.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan melonjak kepada 454.97 juta unit bernilai RM84.69 juta daripada 164.47 juta unit bernilai RM109.10 juta kelmarin.

Waran bertambah kepada 140.86 juta saham bernilai RM20.45 juta daripada 123.22 juta saham bernilai RM16.45 juta sebelum ini.

Barangan pengguna menyumbang 81.48 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (455.40 juta), pembinaan (73.08 juta), perdagangan dan perkhidmatan (451.68 juta), teknologi (210.76 juta), infrastruktur (10.06 juta), SPAC (9.55 juta), kewangan (73.39 juta), hotel (1.91 juta), hartanah (130.99 juta), perladangan (34.96 juta), perlombongan (231,500), REIT (10.35 juta), dan dana tertutup (23,200).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.