Tiga sekolah diumum pasukan terbaik

Wakili zon tengah ke Coding @School 2017 Hackathon peringkat kebangsaan Disember

Berita Harian - - PENDIDIKAN - Oleh Nas Norziela Nasbah nasnorziela@bh.com.my Putrajaya

Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Hussein Onn, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Samad dan SMK Seri Indah, Selangor diumumkan sebagai tiga pasukan terbaik yang akan mewakili zon tengah pada Coding @School 2017 Hackathon peringkat kebangsaan Disember ini. Majlis penutupan program Coding@school 2017 Hackathon peringkat zon tengah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, di sini semalam.

Pengarah Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan, Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata seramai 6,000 pelajar sekolah menengah dan rendah menyertai program Coding@school 2017 Hackathon.

Beliau berkata, program itu dibahagikan kepada tiga kluster iaitu Immersion Camp, Alumni Bootcamp dan Hackathon.

Kembangkan kemahiran

“Coding@schools adalah program pengenalan untuk pelajar sekolah menengah dan rendah mempelajari asas dan serta prinsip pengekodan secara praktikal dalam usaha menggalakkan inovasi dalam kalangan generasi muda.

“Peserta akan dilatih mempelajari dan menggunakan asas pembentukan web seperti ‘HTML’, ‘CSS’ dan Javascript yang membolehkan mereka mengembangkan kemahiran dalam mencipta dan menulis kod perisian aplikasi,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, program Coding@school adalah bagi membantu membina kemahiran abad ke-21 seperti menyelesaikan masalah kolaboratif, kreativiti dan pemikiran kompitasional.

Program yang dianjurkan buat kali kedua tahun ini adalah anjuran Kementerian Kewangan dengan kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai rakan strategik.

[FOTO MOHD FADLI HAMZAH/BH]

Mohd Irwan Serigar bersama pemenang pada majlis penutupan Coding@school 2017 Hackathon peringkat zon tengah di Putrajaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.