Mengaku tak salah guna gelaran palsu

Ahli perniagaan dituduh guna pingat Dato’ Sri Panglima tanpa kebenaran Sultan Perak

Berita Harian - - MAHKAMAH - Oleh Shaarani Ismail shaarani@bh.com.my Ipoh

Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menggunakan gelaran palsu pada Januari lalu.

Tertuduh, Irwan Mohd Nor, 43, dituduh menggunakan gelaran ‘Dato’ Sri Panglima’ bagi maksud persendirian tanpa kebenaran bertulis daripada Sultan Perak.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.30 malam di Kampung Rapat Jaya Tambahan pada 20 Januari lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 3(1)(a), Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Perak 2016 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 3(3) enakmen sama.

Sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri, Yusaini Amer Abdul Karim di hadapan Hakim Murtazadi Amran, manakala tertuduh diwakili peguam Aiman Ariff Abdul Azij. Terdahulu Yusaini Amer memohon kepada mahkamah supaya tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM30,000 kerana kes berkenaan membabitkan kepentingan awam.

Murtazadi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat tambahan.

Mahkamah turut menetapkan 16 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

[FOTO BERNAMA]

Irwan diiringi polis keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh selepas perbicaraan, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.