Mayat mangsa lemas ditemui 50 meter dari pantai

Rakan beritahu Muhammad Amirul Amin terkapai-kapai di laut

Berita Harian - - LEMAS - Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

“Dalam tempoh sejam di pantai, saya cuba mencari adik, termasuk menyelam beberapa kali.

“Bagaimanapun, usaha itu tidak berjaya sebelum pihak berkuasa menemui mayat adik kira-kira 50 meter dari pantai,” kata Mohd Izwan Abdul Rahman, 29, abang kepada Muhammad Amirul Amin, 9, yang ditemui lemas jam 9 malam kelmarin.

Muhammad Amirul Amin lemas selepas dikatakan bermain bersama rakannya di Sungai Batu, Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, di sini, pada petang hari sama.

Mohd Izwan berkata, pada hari kejadian mereka sekeluarga berasa cemas apabila Muhammad Amirul masih belum pulang ke rumah selepas Maghrib.

“Selepas dimaklumkan oleh dua rakan adik, mereka ada bermain berhampiran kawasan pantai dan ternampak arwah terkapai-kapai di laut, saya dan bapa terus bergegas ke lokasi dan menghubungi pihak berkuasa.

“Kami reda dengan ujian Allah dan kami sekeluarga perlu tabah melaluinya,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Alor Gajah, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Siasatan awal mendapati, lokasi kejadian adalah kawasan korek pasir dan kejadian mangsa lemas disedari oleh rakannya, namun mereka takut untuk memberitahu hinggalah keluarga bertanyakan hal yang sebenar.

“Siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, sementara menunggu laporan bedah siasat,” katanya.

[FOTO RASUL AZLI SAMAD /BH]

Mohd Izwan (kiri) mengiringi jenazah adiknya, Muhammad Amirul Amin di pekarangan Unit Perubatan Forensik, Hospital Alor Gajah, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.