Anak bertubuh kecil, rendah

Terdedah kepada masalah mental kemurungan

Berita Harian - - SIHAT - Oleh Halina Mohd Noor

Kanak-kanak kecil atau rendah mungkin dianggap comel tetapi sebaliknya keadaan itu memberi petunjuk mereka berhadapan masalah kesihatan yang perlu ditangani sebelum terlambat.

Ramai tidak sedar, sekiranya dibiarkan, kanak-kanak ini terdedah kepada masalah mental seperti kemurungan.

Golongan ini juga berisiko mengalami penyakit seperti tekanan darah tinggi, memori yang lemah dan kurang tumpuan.

Anggapan kanak-kanak berkenaan menjadi tinggi selepas mencapai akil baligh sebenarnya tidak tepat kerana sebenarnya petanda tempoh pertumbuhan sudah berhenti.

Perunding Kanan Pediatrik, Endokrinologi dan Diabetologi Pediatrik, Jabatan Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Dr Wu Loo Ling, berkata kanak-kanak rendah daripada usia sebenarnya menjalani tumbesaran tidak normal dan perlu menjalani rawatan sewajarnya.

Tumbesaran proses fisiologi kompleks

Kesedaran mengenai masalah tumbesaran di negara ini kata beliau, sangat membimbangkan selalunya keadaan ini diabaikan kerana andaian orang Asia mempunyai struktur tulang lebih kecil.

“Bagaimanapun, amat penting untuk ibu bapa menyedari simptom pertumbuhan dialami anak dan berjumpa doktor sekiranya khuatir dengan tumbesaran anak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Persidangan Tumbesaran Asia Tenggara (SEA) pertama kali dianjurkan syarikat farmaseutikal global, Novo Nordisk membabitkan pertemuan pakar dari seluruh rantau ASEAN pada tahun ini.

Tumbesaran adalah proses fisiologi yang kompleks, kanak-kanak mula membesar dengan cepat dalam dua tahun pertama kehidupan mereka.

Proses ini berterusan pada kadar tetap iaitu lima hingga sembilan sentimeter (sm) setiap tahun sehingga berusia kira-kira 10 tahun.

Kesan awal lebih baik

Apabila kanak-kanak memasuki usia remaja iaitu 11 tahun bagi perempuan dan 13 tahun bagi lelaki, lonjakan tumbesaran berlaku sekali lagi selama kira-kira dua tahun sebelum berakhir perlahan-lahan pada usia 16 hingga 18 tahun.

Sementara itu, Profesor Pediatrik Endokrinologi (Emeritus), Universiti London dan Pakar Runding Endokrinologi Pediatrik, Pusat Endokrinologi Klinik London, Prof Martin Savage, berkata semakin awal masalah tumbesaran dikesan, semakin tinggi peluang kanakkanak mengekalkan ketinggian normal dan mencapai potensi pertumbuhannya sebenar.

“Rawatan masalah tumbesaran mempunyai banyak manfaat selain daripada merangsang ketinggian.

“Rawatan sedemikian terbukti membawa kesan positif kepada komposisi tubuh, pembinaan tulang, faktor risiko kardiovaskular dan kualiti hidup,” katanya.

Ukur pertumbuhan secara kerap

Bagi mengesan masalah tumbesaran seawal mungkin, pertumbuhan kanak-kanak perlu diukur dengan kerap dan dibandingkan dengan adik-beradik atau rakan sebaya di sekolah.

Sekiranya terdapat simptom, ibu bapa dinasihatkan berjumpa pakar pediatrik khusus dalam merawat masalah tumbesaran dan hormon.

Bagaimanapun, ibu bapa perlu sedar bahawa merawat masalah tumbesaran mengambil masa beberapa tahun sehingga kanak-kanak mencapai ketinggian dewasa.

Sekiranya masalah tumbesaran berlanjutan apabila pertumbuhan selesai, rawatan perlu diteruskan bagi mencapai perkembangan tubuh dewasa yang normal, termasuk jisim otot dan penambahan mineral tulang.

Amat penting untuk ibu bapa menyedari simptom pertumbuhan dialami anak dan berjumpa doktor sekiranya khuatir dengan tumbesaran anak” Prof Dr Wu Loo Ling, Perunding Kanan Pediatrik, Endokrinologi dan Diabetologi Pediatrik, Jabatan Pediatrik, PPUKM

Perbezaan ketinggian antara kanak-kanak yang sama usia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.