Harta sebagai pelaburan dunia, akhirat

Berita Harian - - AGAMA -

Kebanyakan kita menyedari pentingnya pelaburan seperti saham, hartanah atau wang ringgit dilaksanakan sejak zaman muda sebagai persediaan kehidupan di hari tua yang senang dan kukuh dari aspek kewangan.

Tidak hairanlah jika kini orang berlumba menambah harta khususnya hartanah dan saham sebagai cagaran untuk masa depan. Secara umumnya teori pengumpulan harta dan pelaburan jangka panjang dalam pelbagai bentuk itu memang akan memberikan keuntungan lumayan.

Tetapi, persoalannya apakah ia dapat memberikan kita pulangan keuntungan kehidupan di dunia ini atau terdapat pelaburan bentuk lain yang mampu memberikan kebaikan dan keuntungan dunia serta akhirat?

Tokoh ulama Nusantara, Hamka, dalam bukunya Falsafah Hidup telah menulis, “Dapat menikmati makan dua kali sehari, pakaian mencukupi, mempunyai rumah yang selesa untuk tinggal bersama keluarga, dapat menghidu udara segar dan bergerak, sebenarnya sudah cukup untuk kita hidup di dunia ini, tetapi nafsu meminta lebih daripada itu, sehingga kerap kali manusia lupa mengenai kesederhanaan.”

Dalam keghairahan memburu harta di dunia ini, satu aspek yang perlu kita sedari ialah setiap harta yang diperoleh dan dibelanjakan akan di soal serta dipertanggungjawabkan oleh Allah

SWT di akhirat kelak.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak bergeser kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat, sehingga Allah SWT akan menanyakan empat perkara: Pertama, umurnya dihabiskan untuk apa. Kedua, ilmunya diamalkan atau tidak. Ketiga, hartanya dari mana dia peroleh dan ke mana dibelanjakan.

Keempat, tubuhnya badannya untuk apa digunakan.” (Riwayat Tirmizi)

Jika mempunyai harta, jangan kita berasakan kesemuanya hak kita kerana Allah SWT memberikan amanah dalam bentuk harta kekayaan. Oleh itu, janganlah terlalu leka dengan kekayaan sehingga lupa membelanjakan harta untuk bekalan di hari akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang yang soleh.” (Surah al-munafikun, ayat 10)

Amat rugi individu yang dianugerah Allah SWT mempunyai harta banyak tetapi lupa terhadap pelaburan akhirat yang ditetapkan Allah SWT dan rasul-nya. Pada umumnya ada dua cara pelaksanaan pelaburan untuk kesenangan dunia dan akhirat.

Sedekah dan wakaf

Pertama, membelanjakan harta yang ada untuk kepentingan umat Islam seperti pembinaan masjid, pengurusan sekolah, anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal atau penganjuran aktiviti yang bermanfaat.

Nabi SAW bersabda: “Ada tujuh hal yang pahalanya akan tetap mengalir bagi seorang hamba padahal dia sudah terbaring dalam kuburnya setelah meninggal (iaitu), orang yang mengajarkan suatu ilmu, mengalirkan sungai, menggali kolam, menanamkan kurma, membina masjid, mewariskan mashaf atau meninggalkan anak yang memohonkan ampun buatnya selepas dia meninggal.” (Riwayat al-bazzar)

Di samping menggunakan harta untuk kebahagiaan diri serta keluarga, jangan lupa membelanjakannya di jalan akhirat melalui sumbangan amal jariah yang dilaksanakan secara berterusan.

Kedua, amalan wakaf iaitu satu bentuk penjanaan kewangan berdimensi tinggi berteraskan kesedaran spiritual dan menjanjikan keuntungan berpanjangan serta berkekalan kerana harta diwakaf tidak boleh berpindah milik malah, manfaatnya kekal.

Banyak negara Islam mengamalkan institusi wakaf dan menghasilkan manfaat besar kepada ummah. Harta wakaf yang diurus secara profesional dan amanah akan dapat dikembangkan manakala kebaikannya berterusan.

Selain itu, orang berwakaf akan sentiasa mendapat doa dan penghargaan daripada golongan yang mendapat manfaat. Amalan wakaf adalah satu bentuk pelaburan yang dilakukan sekali tetapi keuntungan pahala berterusan di dunia hingga ke akhirat.

Bagi individu yang berharta dan berjiwa Muslim sejati, rebutlah peluang pelaburan yang bernilai ini dan jangan sekali-kali meninggalkan amalan berwakaf.

Institusi wakaf

Institusi wakaf masih belum dimanfaatkan sepenuhnya umat Islam di negara ini namun, gerakan wakaf mula digembleng oleh pihak berwajib dan perlu terus disemarakkan dalam pelbagai bidang supaya umat mendapat manfaat besar serta, orang berwakaf memperoleh pahala berterusan.

Umat Islam perlu melihat pelaburan dan harta dalam dimensi yang luas, bukan berteraskan kebendaan tetapi merangkumi nilai spiritual. Cabaran terbesar ialah membina modal insan unggul dari aspek spiritual dan akhlak.

Belanjakan harta dimiliki dengan membuat pelaburan yang dapat memberi keuntungan dunia dan akhirat serta membantu pihak berwajib membina generasi akan datang meneruskan kecemerlangan Islam melalui amalan bersedekah dan berwakaf.

[FOTO HIASAN]

Satu kerugian bagi individu yang dianugerah Allah SWT dengan harta tetapi lupa terhadap pelaburan akhirat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.