TAUFAN DOKSURI

Ragut empat nyawa di Vietnam

Berita Harian - - DUNIA -

Ha Tinh: Bahagian tengah Vietnam dilanda Taufan Doksuri, semalam mengakibatkan banjir besar serta tiupan angin kencang yang merobek bumbung rumah, disusuli gangguan bekalan elektrik.

Kira-kira 40 jadual penerbangan dibatalkan di antara ibu negara, Hanoi dan Bandar Raya Ho Chi Minh City di selatan.

Ribut terburuk

Ia disebut ribut terburuk pernah berlaku di negara Asia Tenggara itu sejak beberapa tahun lalu.

Difahamkan, empat orang maut, termasuk seorang yang tergelincir ketika bergegas cuba menutup restorannya manakala seorang lagi dilaporkan lemas dalam hujan lebat.

Hampir 80,000 orang dipindahkan dari kawasan padat penduduk di pesisir pantai Vietnam sebagai menghadapi Taufan Doksuri dengan kelajuan angin 130 kilometer sejam, menurut agensi kaji cuaca negara berkenaan.

“Ia amat menakutkan. Lebih teruk daripada zaman perang dahulu,” kata Tran Thi Hong, seorang pengetua tadika di wilayah Ha Tinh. Bumbung tadika berkenaan hilang ditiup angin kencang.

Di Quang Binh, kira-kira 200,000 rumah terjejas kerana banjir manakala 5,000 lagi kehilangan bumbung manakala 20 lagi dikatakan runtuh.

[FOTO AFP]

Anggota polis membantu membersihkan kawasan selepas dilanda Taufan Doksuri di Ky Anh di wilayah Ha Tinh, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.