Mayat wartawan Britain dibaham buaya di Sri Lanka ditemui

Berita Harian - - DUNIA -

Colombo: Polis Sri Lanka, kelmarin menemui mayat wartawan Britain berusia 24 tahun, Paul Mcclean yang disyaki dibaham buaya.

Menurut polis, pasukan penyelam menemui mangsa itu dalam lumpur di sebuah lagun di perkampungan pesisir pantai Panama, 360 kilometer ke timur ibu negara Colombo.

“Ada enam atau tujuh kesan kecederaan pada kaki kanan mangsa,” kata pegawai polis kepada AFP.

“Badannya tersangkut dalam lumpur di tempat sama dia dilihat kali terakhir oleh orang lain yang ada bersamanya.”

Seekor buaya dipercayai mengheret Mcclean, petang kelmarin namun bedah siasat akan dapat memastikan punca kematian itu.

Cari tandas

Media British melaporkan mangsa berkenaan yang bekerja dengan Financial Times bercuti bersama rakan di Sri Lanka.

Ketika berada di pantai dia merayau mencari tandas sebelum melangkah masuk ke kawasan yang dikatakan penuh dengan buaya.

Orang ramai yang berada di tempat itu kemudian melaporkan kepada polis selepas Mcclean hilang dan misi pencarian diteruskan dengan bantuan penyelam pasukan tentera laut.

Serangan buaya adalah sesuatu yang jarang berlaku di Sri Lanka di bahagian selatan pulau itu.

Mei lalu, pihak berkuasa memberi amaran kepada orang ramai menjauhkan diri dari kawasan pembiakan buaya ketika banjir di musim monsun.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.