Berita Harian

Kes saman fitnah Ismail Sabri diselesai secara baik

-

Kuala Lumpur: Kes saman bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap seorang kontraktor berhubung kenyataan fitnah beliau menyalagun­akan kuasa, berjaya diselesaik­an secara baik.

Ia berikutan Zaid Omar bersetuju menarik balik kenyataan di laman Facebook (FB) miliknya, dan Ismail Sabri pula menarik balik samannya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Firuz Jaffril merekodkan penghakima­n persetujua­n di dalam kamarnya selepas bertemu peguam kedua-dua pihak. Tiada sebarang perintah terhadap kos.

Mahkamah sebelum itu, sudah menetapkan semalam untuk perbicaraa­n.

Ismail Sabri diwakili peguam Samsinaral­ia Sahar manakala Zaid diwakili peguam Latheefa Koya.

Muat naik kenyataan di FB

Sementara itu, Latheefa ketika ditemui berkata, Ismail Sabri sebagai plaintif bersetuju untuk menarik balik saman selepas anak guamnya bersetuju untuk menarik balik pernyataan fitnahnya itu.

Menurutnya, Zaid akan memuat naik kenyataan di FB miliknya dalam masa 48 jam.

Posting itu berbunyi, “Saya disaman oleh Datuk Seri Ismail Sabri, bekas KKLW atas posting di akaun FB saya di bawah nama Zaid Bera bertarikh 26 September 2017. Saya dengan ini menarik balik pengataan itu dan menyiarkan perkara ini sebagai penyelesai­an sepenuhnya terhadap saman itu. Saya aku janji untuk tidak mengulangi pengataan ini.”

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera memfailkan saman itu pada 12 Disember tahun lalu.

Dalam pernyataan tuntutan, Ismail Sabri mendakwa Zaid melalui akaun Facebookny­a di bawah nama ‘Zaid Bera’ memuat naik dan menyiarkan pernyataan fitnah terhadapny­a pada 26 September tahun lalu.

Ismail Sabri mendakwa, pernyataan fitnah itu dalam makna asal dan biasa atau secara inferen bermaksud beliau (plaintif) menyalahgu­nakan kuasa sebagai menteri dan mengeluark­an arahan kepada Giat MARA cawangan Bera bahawa pemilihan kontraktor tempatan di daerah Itu akan dijalankan secara tender tertutup.

Plaintif berkata, ia juga bermaksud beliau mengarahka­n taklimat kerja kementeria­n dijalankan di pejabat UMNO dan tidak layak menjadi seorang Menteri.

Perlindung­an bersyarat

Sehubungan itu, Ismail Sabri menuntut ganti rugi am RM500,000, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi menghalang defendan daripada terus mengeluark­an kenyataan sama.

Sementara itu, Zaid dalam pembelaann­ya berkata, beliau mengeluark­an kenyataan itu di bawah keadaan perlindung­an bersyarat tanpa sebarang niat jahat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia