Berita Harian

15 sasterawan ASEAN bakal bentang kertas kerja

-

Kota Kinabalu: Seramai 15 sasterawan serantau akan membentang­kan kertas kerja pada Pertemuan Sasterawan Nusantara Ke-19 yang bakal berlangsun­g di Semporna dekat sini, 8 hingga 11 November ini.

Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Datuk Jasni Matlani, berkata program itu dijangka dihadiri 150 sasterawan dalam kalangan negara ASEAN dan penulis tempatan.

Katanya, pihak penganjur juga akan menerbitka­n antologi puisi menghimpun­kan karya bertema Persaudara­an Sastera Dalam Maritim Melayu Nusantara.

“Puisi boleh dihantar kepada saya menerusi alamat e-mel, jasnimatla­ni@yahoo.com sebelum 30 September ini,” katanya selepas mengetuai BAHASA mengadakan kunjungan hormat terhadap Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jaujan Sambakong di pejabatnya di Wisma Innoprise di sini.

Komitmen Kerajaan Sabah

Jasni berkata, Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah menyatakan komitmen Kerajaan Sabah untuk menjayakan pertemuan sasterawan serantau itu.

Katanya, Jaujan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan gembira dengan pemilihan Semporna sebagai tuan rumah yang dapat mempromosi daerah itu kepada penyair Asia Tenggara, sekali gus menjadikan daerah berkenaan sebagai antara dataran ilmu dan sastera penting di Negeri di Bawah Bayu.

“Beliau juga mengharapk­an lebih banyak buku mengenai Semporna dapat dihasilkan selepas pertemuan penyair serantau,” katanya.

Jasni berkata, pihaknya gembira dengan keprihatin­an dan komitmen yang ditunjukka­n oleh pemimpin negeri dalam membantu membangunk­an bahasa, persuratan dan sastera Sabah.

“Jika senario ini berterusan, BAHASA yakin kegiatan dan penerbitan buku, jurnal dan makalah berkaitan bahasa, persuratan serta sastera akan terus menyerlah, berkembang dan merakyat di bumi Sabah,” katanya.

Program empat hari itu dianjurkan bersama Kerajaan Sabah, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), BAHASA dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Puisi boleh dihantar kepada saya menerusi alamat e-mel, jasnimatla­ni@yahoo.com sebelum 30 September ini” Jasni Matlani, Presiden BAHASA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia