Berita Harian

Masalah air jejas lebih 700 penduduk

-

Kota Kinabalu: Lebih 700 penduduk di Kampung Unggun Jaya, Manggatal, di sini, terjejas berikutan masalah bekalan air yang melanda kawasan itu sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan, bekalan air di kawasan kampung berkenaan hanya ada pada waktu malam, namun tekanan air tidak kuat serta tidak cukup untuk memenuhkan tangki masing-masing.

Wakil penduduk, Rizal Limat, 30, berkata masalah itu bukan saja menjejaska­n kehidupan seharian mereka, malah memberi kesan kepada operasi harian sebuah sekolah di situ.

“Kami beberapa kali mengadu kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), namun sehingga kini belum ada penyelesai­an, apa yang kami dapat hanyalah alasan demi alasan.

“Penduduk di sini menderita, kami terpaksa mencari alternatif lain untuk mendapatka­n sumber air, termasuk turun ke sungai untuk mengangkat air,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Alasan pihak JANS

Rizal berkata, antara alasan diberikan pihak JANS sebelum ini termasuk pam air rosak, tiada tangki dan kekurangan bekalan air di kawasan Sepanggar.

“Memang kita faham, pembanguna­n di Sepanggar ini begitu pesat dengan wujudnya banyak perumahan dan mungkin juga bekalan air berkuranga­n. Tetapi sampai bila masalah ini terus berlarutan? Sebelum ini tidak jadi sampai macam ini, kenapa sekarang semakin teruk,” katanya.

Sehubungan itu, dia merayu pihak berkaitan, termasuk kerajaan negeri supaya mengambil perhatian berhubung masalah itu kerana ia menjejaska­n kehidupan seharian penduduk.

Pergi ke sungai

Penduduk, Yanti Rastan, 35, berkata dia terpaksa turun ke sungai untuk mengambil bekalan air bagi mencuci tandas dan kegunaan lain.

“Bayangkan jika tiada air, macam mana kami mahu gunakan tandas? Itu baru untuk mencuci, bagi mendapatka­n bekalan air bersih pula, suami terpaksa mengangkat air dari pejabat di Inanam untuk dibawa ke sini,” katanya.

Hassan Deraman, 57, pula berkata masalah bekalan air di kampung itu menyusahka­n mereka terutama apabila berlaku perkara kecemasan seperti ada orang meninggal dunia.

“Ini memang menyukarka­n apabila berlaku keadaan seperti ada orang meninggal dunia dan lain-lain lagi kecemasan. Kadang kala, penduduk di sini terpaksa ke masjid untuk mengambil air, bukan itu sahaja, ada yang sampai mandi dan cuci pakaian di situ,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia