MALAYSIA KAJI AMALAN NEGARA MAJU KENDALI ISU PENUAAN PENDUDUK

Pesara perlu kekal aktif, terbabit perbincangan berkumpulan sebagai senaman minda

Berita Harian - - MUKA DEPAN -

Malaysia perlu mengkaji amalan di negara lain terutama negara maju dalam mengendalikan soal penuaan penduduk, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita menuju ke arah itu di mana terdapatnya penduduk yang mencapai usia tua. Bagaimana kita menjaga mereka? Ini bukan cuma soal memberikan mereka tempat berlindung tetapi menjadikan mereka sentiasa aktif kerana jika tidak aktif mereka akan beransur-ansur pudar.

“Kebanyakan masyarakat maju mempunyai dana bagi membantu orang tua, mereka yang tidak mampu mencari nafkah dan mereka yang memerlukan penjagaan.

“Perkara itu boleh ditangani menerusi sumbangan insurans ketika mereka masih bekerja... hampir serupa seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Bagaimanapun, amaun KWSP tidak mencukupi bagi perlindungan dalam jangka masa panjang kerana orang tua sekarang mempunyai jangka hayat yang lebih panjang,” katanya dalam temu bual bersama Persatuan Third Age Media dan Bernama News Channel (BNC), barubaru ini.

Temu bual penuh disiarkan menerusi BNC pada jam 11.30 malam tadi dan ulangannya pada 11.30 malam ini, jam 5 petang esok, jam 12 tengah hari dan 5 petang 22 September, jam 5 petang 23 September, jam 9 pagi 29 September serta ke udara menerusi Astro 502, Unifi TV 631 dan MYTV 121 dan juga boleh diakses menerusi laman web www.bernama.com, Facebook dan menerusi Youtube.

Jangka hayat rakyat Malaysia adalah pada purata 75 tahun dan sehubungan itu seseorang memerlukan simpanan untuk tempoh antara 15 hingga 20 tahun selepas persaraan.

Kajian oleh Insured Retirement Institute (IRI) pada awal tahun ini mendedahkan bahawa kurang daripada 25 peratus mereka yang bekerja percaya mempunyai wang yang mencukupi bagi menampung keperluan hidup sepanjang tempoh persaraan.

Majoriti mengatakan mereka tidak mampu untuk bersara.

Menurut KWSP bagi seseorang pesa rayang membelanjakan sekurang kurangnya RM800 sebulan untuk tempoh 20 akan datang (sehingga umur 75 tahun) mereka perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM196,800 atau RM200,000.

Dr Mahathir berkata kajian dilakukan dalam bidang itu bagi menentukan berapa lama simpanan hayat dapat bertahan seperti yang dilakukan oleh negara lain, terutama negara maju.

Ibu bapa generasi baharu perlu jaga diri

Beliau menasihati ibu bapa generasi baharu supaya menjaga diri sendiri dengan kegiatan yang aktif dan sibuk kerana tradisi Asia di mana golongan tua mengharapkan anak untuk menyara hidup dalam usia emas nampaknya kian terhakis.

Untuk kekal aktif golongan tua harus membabitkan diri dalam perbincangan secara berkumpulan sebagai senaman minda kerana mereka boleh bercakap mengenai perkara atau penelitian mereka terhadap subjek tertentu.

Dr Mahathir yang mendapat pengiktirafan sebagai Perdana Menteri tertua di dunia menjelaskan bahawa otot akan merosot jika tidak digunakan dan oleh itu, adalah penting bagi mereka untuk terbabit secara aktif dalam pelbagai aktiviti.

“Kecenderungan untuk mereka tidak melakukan apa-apa adalah buruk kerana apabila anda tidak melakukan apa-apa, anda tidak menggunakan otot anda, badan anda, dan anda tidak menggunakan minda anda juga.

“Apabila minda tidak berolahraga, ia bertindak dengan cara yang sama seperti otot. Otot renggang, minda juga mundur dan ia menjadi tidak berguna,” katanya.

“Apabila anda tidur, tentu saja otototot tidak berfungsi dan ia menjadi sangat lemah, apabila anda menjadi lemah, anda akan mempunyai kecenderungan untuk tidur lebih banyak, jadi anda akan mundur dalam minda dan badan

“Jadi itu yang saya percaya. Ini tidak disokong oleh kajian saintifik. Pemerhatian saya sejak saya mengamalkan kedoktoran bertahun-tahun yang lalu adalah penting untuk menjadi aktif,” katanya.

Dr Mahathir berkata masyarakat perlu mewujudkan cara yang membolehkan orang ramai terbabit secara aktif dalam perkara tertentu dan melakukan kerja amal.

Kecenderungan untuk mereka tidak melakukan apa-apa adalah buruk kerana apabila anda tidak melakukan apa-apa, anda tidak menggunakan otot anda, badan anda, dan anda tidak menggunakan minda anda juga” Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri

Dr Mahathir ditemu bual Persatuan Third Age Media dan Bernama News Channel (BNC) mengenai penuaan penduduk.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.